oleh Alieya Aqilah.
BLACKMORES kini mencatat sejarah sebagai jenama kesihatan semula jadi buatan Australia pertama yang memperoleh pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Pencapaian ini mengukuhkan lagi komitmen BLACKMORES dalam menyediakan produk berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan masyarakat Islam serta pengguna umum.
Majlis penyerahan sijil Halal ini berlangsung di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar South, di mana Ketua Perundingan & Penasihat Halal dari Halal Development Corporation Berhad (HDC), Mohd Dhaliff Ghaus Mohd Anuar, menyerahkan sijil berkenaan kepada Pengurus Negara BLACKMORES bagi Malaysia & Singapura, Kumaran Chandrasergaran.
Selain memenuhi keperluan Halal, pensijilan ini membuktikan dedikasi BLACKMORES terhadap piawaian keselamatan yang ketat, pemilihan bahan yang telus, serta proses pembuatan yang mampan. Ia juga menonjolkan komitmen syarikat terhadap amalan buruh beretika, kelestarian alam sekitar, serta kebajikan haiwan bagi memastikan produknya memenuhi standard global tertinggi.
Menurut Kumaran Chandrasergaran, pensijilan Halal ini bukan sekadar pematuhan semata-mata, tetapi mencerminkan komitmen BLACKMORES terhadap ketelusan, penyumberan beretika dan integriti dalam setiap aspek perniagaan, bermula daripada pemilihan ramuan sehingga ke pembungkusan.
“Mendapatkan pensijilan Halal adalah langkah penting dalam memperkukuh kepercayaan pengguna. Bagi pelanggan beragama Islam, pensijilan ini memberi jaminan bahawa produk BLACKMORES selari dengan kepercayaan mereka. Manakala bagi semua pengguna, ia adalah bukti komitmen BLACKMORES terhadap kualiti dan keselamatan,” tambahnya.
Pensijilan ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan pengguna tetapi juga mengukuhkan kedudukan BLACKMORES dalam industri kesihatan Malaysia. Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke, turut mengakui pencapaian ini sebagai simbol hubungan erat antara Australia dan Malaysia, serta bagaimana inovasi dan komitmen terhadap kualiti dapat diselaraskan dengan piawaian serta nilai tempatan.
Mohd Dhaliff Ghaus Mohd Anuar dari HDC pula menyatakan bahawa pensijilan Halal BLACKMORES adalah contoh terbaik bagi piawaian global dan amalan beretika dalam industri kesihatan. Beliau turut menyatakan kesediaan pihaknya untuk terus menyokong dedikasi BLACKMORES terhadap kecemerlangan dan kebolehpercayaan dalam memenuhi keperluan pengguna Muslim.
Ketika BLACKMORES terus meluaskan kehadirannya di Malaysia, syarikat ini kekal teguh dengan misinya untuk mengekalkan standard etika tertinggi serta menyampaikan produk yang berkualiti, selamat dan telus, sebagaimana yang diharapkan oleh pengguna Malaysia.
Selain pensijilan Halal, BLACKMORES juga berbangga menerima Anugerah Platinum dalam Anugerah Jenama Paling Dipercayai. Pengiktirafan ini, yang dimenangi selama 10 tahun berturut-turut melalui undian pengguna Malaysia, mengukuhkan lagi reputasi BLACKMORES sebagai jenama kesihatan yang dipercayai.
Sumber: TRP BM.