oleh Alieya Aqilah.
Kuala Lumpur, 26 Februari 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengemas kini senarai badan pensijilan Halal luar negara yang diiktiraf, berkuat kuasa mulai 25 Februari 2025. Kemaskini ini melibatkan penarikan pengiktirafan terhadap tiga (3) badan pensijilan serta perubahan logo Halal bagi dua (2) negara.
Penarikan Pengiktirafan Badan Pensijilan Halal
JAKIM telah menarik balik pengiktirafan terhadap tiga (3) badan pensijilan Halal luar negara berikut:
- China Islamic Association (CIA), China
- Centre for Halal Quality Certification (CHQC), Croatia
- Ritual Association of Lyon’s Great Mosque (ARGML), Perancis
Sehubungan itu, badan pensijilan terbabit tidak lagi diiktiraf oleh JAKIM. Pengguna dan pemain industri disarankan untuk merujuk kepada badan pensijilan yang masih mendapat pengiktirafan bagi memastikan pematuhan Halal yang sah.
Perubahan Logo Halal
JAKIM turut memaklumkan bahawa terdapat perubahan logo Halal bagi dua (2) badan pensijilan luar negara iaitu:
- Saudi Food & Drug Authority (SFDA), Arab Saudi
- Halal Assessment Council (Guarantee) Limited, Sri Lanka
Pengguna dan pemain industri perlu lebih berhati-hati dalam mengenal pasti logo Halal yang sah di pasaran bagi mengelakkan kekeliruan.
Jumlah Terkini Badan Pensijilan Halal Diiktiraf
Dengan kemaskini terbaru ini, jumlah badan pensijilan Halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM kini adalah sebanyak 85 badan pensijilan daripada 47 negara. Senarai lengkap badan pensijilan yang diiktiraf boleh didapati melalui portal rasmi Halal Malaysia di pautan berikut:
https://myehalal.halal.gov.my/portal-halal/v1/pdf/cb/CBLIST-25FEBRUARY2025.pdf
Orang ramai juga disarankan untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan pensijilan halal melalui sumber rasmi bagi mengelakkan kekeliruan. Sebarang perkembangan lanjut boleh dirujuk menerusi Facebook rasmi Bahagian Hab Halal, JAKIM.
Sumber: Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM.