Keinginan untuk hidup lebih lestari dan makan lebih bersih mendorong ramai orang mencari alternatif sumber protein, tapi cabaran besar masih menghalang daging kultur (daging tumbuh makmal ) diterima secara meluas.

Daging kultur  bukanlah perkara baru. Walaupun sudah ada perkembangan sejak dua dekad lalu, ia masih belum mendapat sambutan ramai seperti yang diharapkan selepas gelombang awal optimisme.

Daging kultur merujuk kepada daging yang dibangunkan di luar badan haiwan, bukannya melalui cara penyembelihan tradisional. Sel stem diambil daripada haiwan, ditumbuh dalam bioreaktor, dan diberi makanan berkhasiat. Sel ini kemudian berkembang menjadi otot, lemak, dan tisu lain sebelum dipetik, disediakan, dan dibungkus (Sumber: Good Food Institute – GFI).

Namun, penggunaan daging kultur masih rendah. Menurut laporan GFI, pada 2023 hanya ada 170 syarikat yang menghasilkan daging tumbuh di seluruh dunia.

Daging kultur ada beberapa kelebihan berbanding daging tradisional – ia mempunyai jejak karbon yang lebih rendah, menggunakan air yang lebih sedikit, dan kos penyejukan yang lebih murah.

Rantaian bekalan juga lebih mudah sebab tidak perlu ladang besar dan logistik pemprosesan daging yang rumit. Sebagai perbandingan, daging tradisional menghasilkan 22kg karbon dioksida untuk setiap 1kg daging (Sumber: DP World Insights, September lalu).

Namun, ada beberapa faktor yang menghalang pertumbuhannya, seperti sensitiviti agama, perlindungan industri pertanian, dan kepentingan petani.

Isu Agama dan Budaya di Negara Islam
Di negara majoriti Muslim seperti Malaysia, penerimaan daging kultur banyak bergantung kepada status halal.

“Di Malaysia, penerimaan daging kultur bergantung kepada status halalnya. JAKIM memainkan peranan penting untuk memastikan proses dan ramuan mematuhi hukum syarak,” kata Prof Madya Saliza Binti Mohd Elias dari Universiti Putra Malaysia kepada Salaam Gateway.

Jason Ng, Naib Presiden Cell AgriTech Sdn Bhd – syarikat pertama menghasilkan daging kultur di Malaysia – berkata, “Kami komited untuk memastikan semua daging  kultur kami halal dan patuh syariah.”

Menurut kajian mereka, kos adalah isu utama bagi pengguna di Malaysia dan Singapura. “Namun, jika rasa, tekstur, dan harga setara dengan daging tradisional, pengguna lebih terbuka kerana daging kultur lebih sihat dan mesra alam.”

Majlis Ugama Islam Singapura juga telah mengeluarkan panduan yang membenarkan umat Islam mengambil daging kultur jika memenuhi syarat tertentu.

Isu Harga dan Kos Pengeluaran
Dari segi harga, daging kultur dijangka mencapai harga yang sama dengan daging konvensional menjelang hujung dekad ini. Nilai pasaran dijangka mencecah $25 bilion (Sumber: McKinsey & Company).

Syarikat seperti Cell AgriTech menggunakan peralatan pengeluaran gred makanan berbanding peralatan farmaseutikal untuk menurunkan kos.

Ng berkata, “Matlamat kami adalah menghasilkan daging dan ikan yang mempunyai rasa, tekstur, dan nutrisi seperti yang asli, tanpa menggunakan bahan daripada haiwan.”

Kebimbangan Jangka Panjang dan Keselamatan
Walaupun dianggap selamat, masih ada kebimbangan tentang kesihatan jangka panjang seperti perbezaan kandungan nutrisi, risiko pencemaran, dan faktor pertumbuhan yang digunakan.

Dr. Mian N. Riaz dari Texas A&M University berkata, “Daging kultur mungkin tidak mempunyai profil nutrien yang sama dengan daging semula jadi. Ia juga boleh berpotensi menyebabkan reaksi imun – walaupun tiada bukti kukuh mengenainya.”

Namun begitu, kerana ia dihasilkan dalam persekitaran steril, daging kultur bebas daripada bakteria seperti Salmonella dan E. coli.

Politik dan Perlindungan Industri Pertanian
Di Eropah, Itali, Perancis, dan Austria telah menghantar nota kepada EU yang menentang produk daging kultur, dengan alasan ia mengancam sistem pertanian konvensional.

Di Amerika Syarikat, tiga negeri – Mississippi, Florida, dan Alabama – telah mengharamkan penjualan daging tumbuh. Florida berkata tindakan ini penting untuk melindungi petani dan industri pertanian negara mereka.

Beberapa negeri lain seperti Arizona, Tennessee, dan Nebraska juga sedang mempertimbangkan tindakan serupa.

Daging kultur mungkin dapat mengubah sistem pertanian tradisional dengan mengurangkan permintaan terhadap daging biasa. Namun, ia juga membuka peluang kepada petani untuk mencuba sumber pendapatan baru dan memenuhi permintaan protein yang semakin meningkat, sambil mempromosikan kelestarian.

Sumber: Salaam Gateway.