JAKARTA – Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dengan kerjasama Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) telah melaksanakan pemantauan menyeluruh terhadap produk makanan dan ubat-ubatan yang berada di pasaran, khususnya berkaitan dengan tuntutan status Halal produk.
Pemantauan ini dilaksanakan berdasarkan Perjanjian Kerjasama (PKS) antara kedua-dua agensi, iaitu PKS No. 10 Tahun 2024 (BPJPH) dan KS.01.01.2.06.24.05 (BPOM), yang memperkukuh kerjasama dalam memastikan pematuhan terhadap Jaminan Produk Halal dalam sektor makanan dan farmaseutikal.
Hasil pemantauan tersebut mendapati bahawa sebanyak 11 kumpulan (batch) daripada 9 produk makanan yang diproses telah dikesan mengandungi unsur khinzir (porcine). Penemuan ini disahkan melalui ujian makmal yang melibatkan analisis DNA dan/atau peptida spesifik porcine.
Daripada jumlah tersebut, 9 kumpulan daripada 7 produk telah memiliki sijil Halal, manakala 2 kumpulan daripada 2 produk lagi tidak mempunyai sijil Halal. Senarai lengkap produk yang terlibat telah disenaraikan dalam lampiran Siaran Media BPJPH bertarikh 21 April 2025.
Bagi produk yang telah disahkan memiliki sijil dan label Halal, BPJPH telah mengambil tindakan segera dengan mengeluarkan arahan penarikan produk daripada pasaran, selaras dengan ketetapan Peraturan Pemerintah (PP) No. 42 Tahun 2024 mengenai Penyelenggaraan Jaminan Produk Halal.
Sementara itu, bagi dua produk yang tidak mempunyai sijil Halal dan disyaki telah memberikan maklumat palsu semasa proses pendaftaran, BPOM telah mengeluarkan amaran rasmi kepada pihak pengeluar serta mengarahkan penarikan segera produk berkenaan dari pasaran. Tindakan ini diambil selaras dengan peruntukan Undang-Undang No. 18 Tahun 2012 tentang Pangan dan PP No. 69 Tahun 1999 mengenai Label dan Iklan Pangan.
Ketua BPJPH, Ahmad Haikal Hasan, mengingatkan semua pihak agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan. Beliau turut menegaskan bahawa pensijilan Halal bukan sekadar keperluan pentadbiran semata-mata, sebaliknya mencerminkan komitmen terhadap pematuhan syariah yang sah dari segi undang-undang.
“Sijil Halal ialah lambang pematuhan terhadap standard Halal yang terkandung dalam Sistem Jaminan Produk Halal. Ia wajib dilaksanakan secara konsisten sepanjang proses pengeluaran produk Halal bagi memastikan status Halalnya kekal terpelihara,” jelas beliau.
BPJPH dan BPOM juga menegaskan bahawa pemantauan terhadap produk di pasaran akan terus dijalankan secara berterusan mengikut bidang kuasa masing-masing. Orang awam turut digalakkan untuk memainkan peranan aktif dengan melaporkan sebarang produk yang mencurigakan atau disyaki melanggar peraturan yang ditetapkan.
Sebarang aduan atau pertanyaan boleh dikemukakan melalui e-mel rasmi BPJPH di layanan@halal.go.id.
Gunakan hak anda sebagai pengguna Muslim – Semak status Halal sebelum membeli!



Sumber: Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH).