KUALA LUMPUR, 5 Mei 2025 — Sebanyak 34 cawangan Gloria Jean’s Coffees (GJC) di seluruh negara telah berjaya memperoleh pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sekali gus menandakan pencapaian penting dalam memperkukuh keyakinan pengguna terhadap jenama francais tempatan.
Perakuan Halal ini diumumkan oleh Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menerusi anak syarikatnya, Wonderful Lifestyle Sdn Bhd, dalam satu majlis rasmi penyerahan sijil yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Datuk Nor Azam M. Taib.
Dalam ucapannya, Nor Azam menyifatkan kejayaan ini sebagai satu langkah signifikan dalam memperkukuh integriti dan daya saing produk francais tempatan, selain memenuhi keperluan pasaran Halal yang semakin berkembang.
“Pensijilan Halal bukan sekadar keperluan pasaran, ia juga mencerminkan nilai integriti, disiplin dan komitmen dalam penyediaan produk yang bersih dan berkualiti kepada pengguna,” ujar beliau.
Beliau turut mengiktiraf kejayaan ini sebagai hasil kerjasama erat antara pihak pengurusan GJC, bimbingan daripada JAKIM serta sokongan berterusan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Menurut kenyataan rasmi, pensijilan ini mengesahkan bahawa kesemua 34 cawangan GJC telah melaksanakan piawaian Halal secara menyeluruh, merangkumi pendokumentasian, operasi harian serta pemantauan yang ketat, selaras dengan keperluan JAKIM sebagai badan pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Proses permohonan dan pematuhan Halal bermula sejak 14 Ogos 2024, melibatkan pelaksanaan prosedur operasi piawaian Halal di semua premis GJC secara seragam. Usaha ini turut disokong menerusi geran pematuhan daripada KUSKOP.
Kejayaan ini bukan sahaja meningkatkan kepercayaan pelanggan Muslim, malah meletakkan Gloria Jean’s Coffees setanding dengan jenama francais kopi antarabangsa lain yang komited terhadap pematuhan Halal.
Sebagai agensi di bawah KUSKOP, Pernas kekal komited dalam memperkasakan usahawan francais tempatan supaya dapat berkembang ke pasaran domestik dan antarabangsa menerusi jenama yang dipercayai dan berkualiti tinggi.
Sumber: Malay Mail.