MOSCOW, 15 Mei 2025 — Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan rasmi bersama Mufti Besar Rusia, Sheikh Ravil Gaynutdin, sejurus selepas mengadakan rundingan dua hala bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Pertemuan itu berlangsung sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan hubungan Malaysia dengan komuniti Muslim di Rusia, yang dianggarkan mencecah 25 juta orang, serta membuka ruang kerjasama dalam bidang institusi Islam, pendidikan dan industri Halal.
Menurut Anwar, pertemuan itu membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama termasuk langkah memperkukuh institusi Islam, memperluas pertukaran ilmu, serta memantapkan pembangunan industri Halal di Rusia dengan bantuan kepakaran Malaysia yang diiktiraf di peringkat global dalam pensijilan Halal.
“Kami bertukar pandangan mengenai pelbagai perkara, termasuk kerjasama dalam pembangunan institusi Islam dan usaha memperluas kefahaman serta kesedaran terhadap Islam yang sebenar,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap peranan aktif Sheikh Ravil dalam mempromosi keharmonian antara agama dan memelihara persefahaman dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama di Rusia.
“Usaha ini sangat berharga dalam dunia hari ini yang semakin terancam dengan perpecahan, kebencian dan prejudis,” ujarnya.
Sebagai simbol persahabatan dan dakwah antarabangsa, Anwar menghadiahkan naskhah al-Quran beserta terjemahan dalam bahasa Rusia kepada Sheikh Ravil.
Pemberian itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan MADANI untuk mewaqafkan sejuta al-Quran di seluruh dunia sebagai usaha memperluas kefahaman Islam dan menangani fenomena Islamofobia yang kian meningkat.
Sheikh Ravil yang juga Pengerusi Majlis Muslim Persekutuan Rusia, menghadiahkan Anwar manuskrip al-Quran gaya Uthmani dari Uzbekistan, yang memiliki nilai sejarah dan melambangkan keindahan warisan ilmu Islam yang merentas benua.
Lawatan rasmi Anwar ke Rusia selama empat hari ini dilakukan atas jemputan Presiden Putin. Anwar kini meneruskan fasa kedua lawatan beliau ke Kazan, ibu negara Republik Tatarstan, yang akan turut menyaksikan beliau menyampaikan ucapan utama dalam KazanForum 2025.
Sumber: Selangor Journal.