SEGAMAT, 18 Mei 2025 – Pihak polis sedang mengesan seorang lelaki yang didapati membawa seekor anjing peliharaan ke dalam sebuah restoran halal 24 jam di Segamat Baru, susulan video kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, memaklumkan bahawa pihaknya telah mengesan video berdurasi 45 saat itu pada Khamis lalu sebelum menerima satu laporan rasmi daripada pekerja premis berkaitan insiden berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 11 Mei 2025, kira-kira jam 12 tengah hari, di sebuah restoran nasi kandar yang beroperasi 24 jam di Segamat Baru,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Beliau turut memaklumkan bahawa pekerja restoran telah tampil memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dan memaklumkan kepada pihak polis bahawa kerusi yang digunakan lelaki terbabit telah dilupuskan selepas dimaklumkan kepada pihak pengurusan restoran.

Tindakan lelaki itu yang meletakkan anjing di atas bangku restoran halal telah mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat Islam dan menjadi topik perbualan hangat di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Ahmad Zamry berkata, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut dengan kerjasama Majlis Perbandaran Segamat (MPS) dan kes disiasat di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1970.

“Polis memandang serius insiden yang menyentuh sensitiviti agama dan menghormati status halal sesebuah premis makanan,” tegasnya.

Pihak berkuasa menegaskan bahawa pemeliharaan sensitiviti agama dan pematuhan garis panduan kebersihan di premis makanan halal adalah amat penting dan perlu dihormati oleh semua pihak tanpa mengira agama atau latar belakang.

Sehubungan itu, pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut atau mengenali individu dalam video tersebut agar tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi IPD Segamat di talian 07-9324222.

Sumber: Astro Awani.