BUTTERWORTH, 21 Mei 2025 — Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan mengimport produk makanan sejuk beku dari China yang disahkan mengandungi DNA babi dan ayam, sekaligus melanggar peraturan pengimportan makanan negara.

Menurut Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib, produk berkenaan ditahan di Pintu Masuk MAQIS North Butterworth Container Terminal (NBCT) hasil pemeriksaan teliti yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa pada Selasa lalu.

Beliau berkata, barangan tersebut diisytiharkan dalam dokumen import sebagai Frozen Cuttlefish Intestines berbentuk sosej, Frozen Cuttlefish Balls, dan Frozen Cuttlefish Tofu. Namun, hasil analisis makmal yang dilakukan oleh Jabatan Kimia Malaysia mendapati produk itu mengandungi unsur DNA babi dan ayam, yang bercanggah dengan deklarasi asal dalam dokumen import.

“Keseluruhan konsainan ini seberat 51.3 tan dengan nilai pasaran dianggarkan sebanyak RM63,534.57 telah disita untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengemukakan maklumat palsu, tidak tepat, atau mengelirukan,” katanya dalam kenyataan media.

Muhammad Ikram menegaskan bahawa pengimport terbabit telah dikenakan kompaun dan semua produk terlibat telah dilupuskan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Tambah beliau, tindakan tegas diambil ini adalah bagi memastikan keselamatan dan keterjaminan makanan negara terus terpelihara, serta melindungi pengguna Muslim daripada termakan bahan yang tidak halal atau meragukan.

“MAQIS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar syarat import, terutama yang melibatkan isu sensitiviti agama dan keselamatan makanan,“ tegas beliau.

Kes ini sekali lagi membuktikan kecekapan penguatkuasaan MAQIS dalam mengekang kemasukan produk makanan yang tidak mematuhi peraturan serta memberi amaran jelas kepada pengimport agar mematuhi semua garis panduan serta mengisytiharkan maklumat dengan telus.

Sumber: Sinar Harian.