KUALA LUMPUR, 26 Mei 2025 — Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk memimpin penubuhan Majlis Halal ASEAN, sebagai langkah strategik menjadikan ASEAN sebagai model global industri Halal yang berintegriti, inklusif dan mampan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama ini penting memandangkan pasaran Halal global dijangka mencecah USD5 trilion menjelang 2030, dan ASEAN perlu tampil sebagai peneraju dalam membangunkan ekosistem Halal serantau yang berdaya saing dan saling melengkapi.
“Penubuhan Majlis Halal ASEAN akan menjadi platform strategik untuk menyelaraskan dasar, piawaian dan peraturan Halal antara negara-negara ASEAN secara sistematik. Kita komited untuk membawa kerjasama Halal ke tahap lebih tinggi dan memperkukuh kedudukan produk Halal Malaysia dan Indonesia di pasaran serantau dan antarabangsa,” kata Zahid.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia, berkata demikian dalam kenyataan selepas menghadiri mesyuarat strategik bersama Ketua Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia, Haikal Hassan Baras, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Antara fokus utama kerjasama dua hala ini termasuk pengiktirafan bersama pensijilan Halal, pembangunan tenaga kerja Halal, program pertukaran pakar, latihan bersama serta penyelidikan kolaboratif. Usaha ini dijangka mengukuhkan rantaian nilai Halal ASEAN serta mempertingkatkan akses pasaran produk Halal tempatan ke peringkat antarabangsa.
Zahid menambah bahawa kedua-dua negara bersetuju memperluas perdagangan Halal serantau dengan membuka laluan pasaran yang lebih mudah dan mesra industri, sekaligus menyokong pertumbuhan perdagangan intra-ASEAN.
“Langkah ini dijangka memberikan impak positif terhadap permintaan produk Halal dalam kalangan lebih 700 juta penduduk ASEAN, serta memperkukuh kedudukan rantau ini sebagai hab Halal dunia,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa pertemuan tersebut merupakan susulan kepada lawatan rasminya ke Indonesia baru-baru ini, yang telah membuka jalan kepada hubungan lebih erat antara kedua-dua negara dalam memacu pembangunan industri Halal serantau.
Zahid menegaskan bahawa kejayaan ini juga merupakan cerminan kejayaan ‘Diplomasi Halal Malaysia’, yang menyumbang secara langsung dalam memperkukuh jenama Halal negara di peringkat global.
Sumber: Malay Mail.