KUALA LUMPUR, 28 Mei 2025 — Malaysia dan Indonesia kini memimpin perbincangan ke arah penyatuan logo Halal di peringkat global, satu langkah bersejarah yang dijangka dibawa ke Mesyuarat Majlis Halal Dunia (World Halal Council) yang akan berlangsung di Riyadh, Arab Saudi, pada November tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu telah dibincangkan bersama delegasi Indonesia dalam beberapa pertemuan terkini, termasuk ketika Dialog Kazan di Rusia.

“Jika kita mempunyai keazaman yang kuat, perkara ini boleh diterima di peringkat antarabangsa. Halal bukan hanya untuk umat Islam, tetapi untuk semua,” katanya kepada media selepas menyertai forum di Forum Ekonomi ASEAN-GCC yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Zahid, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia, menjelaskan bahawa matlamat utama adalah untuk mewujudkan satu logo Halal global yang standard, sekali gus menghapuskan keperluan menggunakan pelbagai logo halal berbeza mengikut negara.

“Cadangan ini adalah untuk menjadikan standard pensijilan Halal JAKIM sebagai penanda aras antarabangsa. Kita tidak akan berkompromi dari segi piawaian Halal. Malah, sijil Halal JAKIM kini diiktiraf oleh 88 badan Halal seluruh dunia, dan turut menawarkan perkhidmatan akreditasi kepada negara lain,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa setakat ini, sebanyak 40 negara telah menjalin kerjasama rasmi dengan JAKIM dalam usaha memperkukuh sistem pensijilan Halal masing-masing.

“Kita mahu berada di barisan hadapan dan membantu negara-negara lain dalam memantapkan sistem Halal mereka. Negara GCC sangat menyokong usaha Malaysia ini, dan China juga pernah berbincang bersama kita mengenai hal ini,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, pendekatan ini tidak hanya terhad kepada rantau Asia Tenggara atau negara-negara Islam, sebaliknya bersifat global, selaras dengan perkembangan permintaan pengguna terhadap produk Halal yang semakin meningkat di seluruh dunia.

Dalam perkembangan berkaitan, Zahid turut memaklumkan bahawa Malaysia kini dalam perancangan untuk menubuhkan Majlis Halal ASEAN serta menubuhkan Suruhanjaya Halal (Halal Commission) bagi memperkukuh tadbir urus industri Halal serantau.

“Saya sendiri akan mempengerusikan penubuhan Suruhanjaya Halal ini. Ia tidak melibatkan tambahan peruntukan, sebaliknya akan dilaksanakan melalui Halal Development Corporation (HDC),” jelas beliau.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata kementeriannya sedang menyediakan kertas kerja rasmi untuk pembentukan Suruhanjaya Halal, yang akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

“Kami kini dalam fasa mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan serta kementerian berkaitan. Setelah diluluskan, maklumat lanjut akan diumumkan,” katanya.

Sumber: The Star.