KUALA LUMPUR, 28 Mei 2025 — Malaysia kini melihat peluang besar untuk meningkatkan eksport produk Halal ke negara-negara Timur Tengah, terutamanya kepada anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dalam usaha mengukuhkan kedudukan sebagai hab Halal global dan mengimbangi ketidaktentuan perdagangan dengan Amerika Syarikat.
Negara-negara GCC yang terdiri daripada Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Kuwait, Oman dan Bahrain kini semakin membuka pasaran kepada produk Halal dari rantau Asia Tenggara, termasuk makanan, kosmetik, dan produk pengguna lain. Malaysia, yang terkenal dengan sistem pensijilan Halal yang ketat dan diiktiraf lebih 47 negara, dilihat sebagai rakan dagang yang diyakini.
Edwin Suhairi, seorang usahawan eksport-import produk kosmetik Malaysia-Timur Tengah, berkata rundingan perdagangan yang sedang berlangsung antara ASEAN dan GCC minggu ini diharap dapat mengurangkan kerenah birokrasi di pelabuhan Teluk.
“Permintaan terhadap produk Halal masih meningkat. Jika proses dapat dipermudahkan, ia sangat menguntungkan perniagaan saya,” katanya, sambil menyatakan peningkatan jualan produk Malaysia susulan boikot terhadap jenama Barat berkaitan dengan serangan negara Haram, Israel terhadap warga Palestin di Gaza.
Malaysia dan GCC kini bersetuju untuk memulakan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA), yang menandakan anjakan penting dalam corak perdagangan serantau. Menurut para penganalisis, perubahan ini didorong bukan sahaja oleh dasar perlindungan perdagangan Amerika, tetapi juga oleh perubahan selera pengguna dan kuasa beli tinggi negara Telukyang memiliki KDNK gabungan melebihi USD2 trilion.
Dari Januari hingga September tahun lalu, eksport produk Halal Malaysia mencecah RM45 bilion (USD10.7 bilion), meningkat daripada RM39.3 bilion pada tempoh sama tahun 2023.
Menurut Ayman Falak Medina, editor ASEAN Briefing daripada kumpulan penyelidikan pasaran, keunggulan Malaysia terletak pada sistem pensijilan Halal yang kini menjadi penanda aras di peringkat global.
Sementara itu, Thailand dan Indonesia turut menunjukkan peningkatan dalam eksport Halal, dengan Indonesia merekodkan lebih USD42.3 bilion eksport produk Halal pada 2023. Thailand pula memanfaatkan kelebihan industri pemprosesan makanan dan sokongan kerajaan untuk menembusi pasaran global dengan nilai eksport melebihi USD6 bilion.
Oh Ei Sun, Felo Kanan di Singapore Institute of International Affairs, menyatakan bahawa penekanan terhadap “semua perkara Halal” boleh menjadi penyelamat kepada pengeksport yang kini tersekat akses ke pasaran AS.
Dengan lebih 330 juta penduduk Muslim di ASEAN dan GCC, pasaran Halal serantau kini dianggarkan bernilai USD2 trilion, dan dijangka meningkat kepada hampir USD5 trilion menjelang 2030.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, menyifatkan rundingan FTA ini sebagai peluang strategik dalam landskap ekonomi global yang semakin tidak menentu. “Ini peluang terbaik untuk memperkukuh kerjasama dan menuju ke arah kemakmuran bersama yang lebih inklusif,” katanya.
Perjanjian ini turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah al-Khaled al-Sabah, dan disusuli oleh Sidang Kemuncak Tiga Hala ASEAN-GCC-China yang bakal menghubungkan rantau Teluk dengan rantaian bekalan di Asia Tenggara.
Selain sektor tenaga, GCC kini turut melabur secara besar-besaran dalam kepelbagaian ekonomi, keselamatan makanan dan kewangan Islam — satu bidang di mana Malaysia kekal sebagai peneraju dunia dengan sistem yang mantap dan dikawal selia.
Sumber: SCMP.