KUALA LUMPUR, 4 Jun 2025 – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kini sedang mengkaji cadangan untuk menggabungkan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dalam usaha memperkukuhkan ekosistem perdagangan dan pembangunan industri halal negara.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, cadangan tersebut sedang dibincangkan secara aktif kerana terdapat beberapa saranan strategik lain yang turut dikemukakan untuk memperkukuh sektor halal Malaysia.
“Kita mahu memperkasakan industri halal dengan memberikan tumpuan khusus kepada aspek pembangunan halal. Kita tidak mahu berlaku pertindihan antara pembangunan dan perdagangan halal,” katanya kepada media selepas menyertai Forum Ekonomi ASEAN-Kerjasama Teluk (GCC) 2025 di ibu negara.
Menurut beliau, MITI mahu Matrade lebih memfokuskan kepada urusan perdagangan halal termasuk akses pasaran, manakala HDC akan terus menumpukan kepada aspek pembangunan dan inovasi industri halal. Dalam masa yang sama, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan memainkan peranan dalam menggalakkan pelaburan dalam sektor berkaitan halal.
MITI sebelum ini mengumumkan penubuhan jawatankuasa pro-tem bagi meneliti langkah penyelarasan sumber dan rangka kerja operasi sempena cadangan penggabungan Matrade dan HDC. Usaha ini dijangka dapat menyatukan peranan kedua-dua agensi dengan lebih strategik dan berkesan.
“Matlamat utama penggabungan ini adalah untuk memperkukuhkan kepimpinan Malaysia dalam pasaran halal global yang dijangka mencecah nilai AS$5 trilion (RM21.23 trilion) menjelang tahun 2030,” menurut kenyataan MITI sebelum ini.
Sementara itu, Zafrul turut memaklumkan bahawa Sekretariat Majlis Halal Malaysia telah mencadangkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Halal dan perkara ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri tidak lama lagi.
“Kini ia masih dalam proses edaran untuk mendapatkan maklum balas daripada kementerian dan agensi berkaitan. Selepas mendapat kelulusan Kabinet, kita akan mengumumkan butiran dan hala tuju penubuhan suruhanjaya ini,” katanya.
Penubuhan Suruhanjaya Halal dijangka dapat melancarkan penyelarasan dasar dan pensijilan halal di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sumber: The Edge Markets.