TANJUNG MALIM, 13 Jun 2025 – Restoran ikonik Yik Mun yang telah beroperasi sejak 1926 di Tanjung Malim, Perak, kini menerima pengiktirafan rasmi Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selepas 99 tahun beroperasi, sekali gus menamatkan spekulasi dan kontroversi berhubung status Halalnya.

Perkembangan ini dikongsikan oleh pengguna platform X, @AshraffMokhtar, yang memuat naik tangkap layar status pengesahan Halal restoran berkenaan menerusi portal KiniHalal. Beliau menyatakan bahawa sijil Halal yang diperoleh meliputi keseluruhan 145 hidangan yang ditawarkan, termasuk pau terkenal, kuetiau, yong tau foo dan mee kari.

Restoran tersebut, yang kini dikendalikan oleh generasi ketiga pengusaha bukan Islam, pernah menerima kecaman dan seruan boikot dalam kalangan pengguna Muslim kerana tidak memiliki pensijilan Halal rasmi sebelum ini.

Namun, pengesahan Halal yang diumumkan baru-baru ini menerima pelbagai reaksi positif dalam kalangan netizen. Ramai netizen memuji usaha restoran tersebut mematuhi garis panduan Halalan Toyyiban – yang menekankan aspek kebersihan, keselamatan dan kesucian makanan.

Seorang pengguna X, @justalhafiz menulis: “Sijil Halal JAKIM bukan hanya tentang Halal semata-mata, tetapi juga toyyiban. Banyak restoran Melayu yang mungkin Halal, tetapi belum tentu menepati keseluruhan standard toyyiban yang tinggi.”

Sementara itu, pengguna @Fatulamnan menjelaskan bahawa proses mendapatkan sijil Halal di Malaysia adalah teliti dan menuntut komitmen tinggi. “Pensijilan Halal sekarang setanding dengan piawaian GMP. Semua bahan, termasuk penapis air, perlu melalui pengesahan Halal,” katanya.

Menariknya, menurut JAKIM dalam kenyataan pada 2019, hanya produk pau Yik Mun yang disahkan Halal pada ketika itu, namun keseluruhan premis belum mendapat pengiktirafan. Kini, pensijilan itu merangkumi seluruh operasi perniagaan mereka.

Pengguna lain, @mengkudu_masam, menyambut baik langkah Yik Mun dan menggesa lebih ramai pengusaha Muslim untuk mencontohi pendekatan profesional tersebut demi menembusi pasaran Halal global. “Sijil Halal bukan sekadar simbol. Ia pasport ke pasaran antarabangsa bernilai trilion ringgit,” katanya.

Menurut data Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), industri Halal global dijangka mencecah nilai AS$3.6 trilion dalam masa sedekad, dengan lebih AS$7 trilion daripadanya disumbangkan oleh pengguna Muslim.

Dalam masa tiga hari, hantaran @AshraffMokhtar telah mencecah lebih 600,000 tontonan dan mencetuskan perbincangan hangat mengenai kepentingan pensijilan Halal, khususnya dalam kalangan pengusaha bukan Muslim.

Sumber: kinihalal.