MEKAH, 16 Jun 2025 – Malaysia mencatat sejarah tersendiri dalam pengurusan haji apabila diiktiraf sebagai negara terbaik dunia dalam pengurusan jemaah haji menerusi penganugerahan Diamond Award Labbaittom oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Anugerah berprestij itu disampaikan pada Majlis Penutup Operasi Haji 1446H/2025, menjadikan Malaysia satu-satunya negara yang menerima pengiktirafan tertinggi dalam sejarah penganugerahan tersebut. Lebih membanggakan, kejayaan ini menandakan tahun keempat berturut-turut Tabung Haji (TH) menerima pengiktirafan cemerlang dalam pengurusan jemaah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, penganugerahan ini membuktikan dedikasi, profesionalisme dan komitmen tinggi seluruh warga TH, khususnya petugas di lapangan serta pasukan Sahabat Maktab yang bertungkus lumus membantu dan menyantuni jemaah.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Husain; Ketua Pegawai Eksekutif, Mustaqim Muhammad serta Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun atas kejayaan yang membanggakan ini,” kata beliau.
Namun begitu, katanya, walaupun menerima pengiktirafan tertinggi, TH tetap komited untuk melakukan post mortem menyeluruh dan terus menambah baik segala aspek operasi bagi musim haji akan datang.
Antara fokus utama pembaikan termasuklah menambah baik kemudahan khemah di Mina untuk meningkatkan keselesaan jemaah Malaysia. Mohd. Na’im turut memberi jaminan bahawa TH akan terus mengekalkan kerjasama strategik dengan syarikat perkhidmatan haji Arab Saudi, Masyair Al-Masyarik, yang terbukti memberi impak positif kepada pengalaman jemaah.
“Inilah bukti bahawa perkhidmatan terbaik akan membuahkan hasil. Kita tidak akan berhenti di sini, tetapi terus mempertingkatkan perkhidmatan demi kesejahteraan jemaah haji Malaysia dan memastikan setiap jemaah mencapai matlamat haji mabrur,” katanya lagi.
Majlis anjuran tahunan Kementerian Haji dan Umrah itu merupakan acara rasmi yang menghimpunkan wakil negara-negara Islam untuk menilai dan mengiktiraf prestasi pengurusan operasi haji selepas berakhirnya ibadah berkenaan.
Sumber: Astro Awani.