KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) mencadangkan agar proses audit berkaitan pematuhan piawaian Halal seperti penyembelihan tidak lagi dilaksanakan secara langsung oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sebaliknya diserahkan kepada dua badan pensijilan Halal yang telah diiktiraf oleh JAKIM di negara berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, yang berkata langkah tersebut bertujuan untuk memudahkan proses audit terhadap syarikat-syarikat penyembelihan di AS yang ingin mengeksport produk Halal ke Malaysia.

“Permintaan dari pihak AS adalah agar JAKIM tidak lagi turun padang untuk melakukan audit ke atas semua syarikat penyembelihan. Sebagai contoh, kalau ada 10 hingga 20 syarikat di sana, ia tidak praktikal untuk JAKIM mengaudit semuanya.

“Sebaliknya, audit akan dijalankan oleh dua badan Halal yang telah pun diiktiraf JAKIM. JAKIM pula akan memantau dan melakukan audit berkala terhadap kedua-dua badan ini bagi memastikan pematuhan terus terjamin,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Ambulans Institut Perubatan Respiratori (IPR), Hospital Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa semua produk dari AS yang ingin memasuki pasaran Malaysia tetap wajib mematuhi sepenuhnya standard Halal yang ditetapkan oleh JAKIM.

Beliau turut menolak dakwaan media asing yang menyatakan Malaysia bersedia berkompromi dalam isu pensijilan Halal semasa rundingan tarif timbal balas bersama AS.

Tengku Zafrul menjelaskan, perbincangan yang dibuat hanyalah bertujuan untuk mempermudah proses pengimportan daging Halal dari AS, dengan pelaksanaan audit diserahkan kepada Agensi Peraturan Halal AS yang diiktiraf JAKIM.

Dalam perkembangan lain, Datuk Dr Mohd Na’im turut memaklumkan bahawa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menyumbangkan sebuah ambulans bernilai RM450,000 kepada Institut Perubatan Respiratori (IPR).

“Sumbangan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial MAIWP dalam membantu institusi kesihatan awam. Ia juga simbol nilai ihsan dalam menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya.

Sumber: Berita Harian.