KUALA LUMPUR – Peminat daging premium kini boleh menikmati pengalaman baharu apabila Kay’s Steak & Lobster menjadi restoran pertama di Malaysia yang menawarkan daging lembu Hanwoo versi Halal, yang merupakan salah satu daging paling berprestij dari Korea Selatan.

Menurut Pengarah Urusan Kay’s Steak & Lobster, Muhammad Aizuddin Mohd Khalid, inisiatif membawa masuk Hanwoo Halal bermula sejak tahun lalu selepas mengetahui Korea Selatan telah mula mengeluarkan daging Hanwoo dengan pensijilan Halal.

“Kami mula membawa masuk Hanwoo pada tahun lalu. Kuantiti sangat terhad dan walaupun negara besar seperti Amerika Syarikat dan UAE menunjukkan minat, mereka masih belum memperoleh akses kepada Hanwoo Halal.

“Proses pemilihan lembu Hanwoo sangat ketat – dari baka, pemakanan sehingga teknik penggemukan terkawal. Sama seperti Wagyu, Hanwoo juga dinilai berdasarkan sistem ‘grading’. Namun, saya sendiri merasakan kualiti Hanwoo lebih tinggi,” katanya.

Kay’s kini merupakan satu-satunya restoran di Malaysia yang menghidangkan Hanwoo Halal dengan pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Permohonan pensijilan Halal dilakukan oleh pihak kami sendiri, dan kini kami menjadi perintis di Malaysia dalam memperkenalkan Hanwoo Halal kepada pelanggan,” ujarnya.

Daging Hanwoo disediakan dalam gaya barat, seperti steak, tetapi tetap mengekalkan elemen Korea dalam sajian seperti kimchi dan sos berasaskan kicap soya serta lobak putih. Hidangan ditawarkan dalam berat 200–250 gram dengan harga bermula RM289 bergantung kepada potongan, dan pelanggan boleh memilih tahap masakan seperti medium atau medium well.

Buat masa ini,Kay’s menggunakan potongan sekunder Hanwoo agar pelanggan boleh menikmati portion lebih besar pada harga yang lebih kompetitif berbanding Wagyu.

“Dari segi rasa, Hanwoo lebih ‘beefy’, lebih asli. Kami juga mendidik pelanggan dan melatih staf untuk menjelaskan perbezaan rasa Hanwoo berbanding Wagyu,” jelasnya.

Pihak restoran turut bercadang untuk memperluaskan variasi potongan Hanwoo termasuk tomahawk, serta potongan lebih kecil pada harga lebih rendah bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelanggan mencuba daging ini.

Kay’s juga merancang untuk memohon pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records sebagai restoran pertama di negara ini yang memperkenalkan Hanwoo Halal secara rasmi.

Dengan pengiktirafan Halal dan rasa premium yang unik, Kay’s Steak & Lobster membuka lembaran baharu dalam industri kulinari Halal negara dan meletakkan Malaysia antara negara terawal yang memperkenalkan Hanwoo Halal ke pasaran global.

Sumber: Utusan Malaysia.