Baru-baru ini, tular sebuah video lama di media sosial yang mendakwa kononnya daging yang diimport dari Australia tidak mematuhi piawaian Halal. Rakaman tersebut, yang dipercayai dirakam sekitar tahun 2022, kembali tersebar dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna Muslim di Malaysia.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tampil memberikan penjelasan rasmi bahawa semua daging import dari Australia yang dibawa masuk ke negara ini telah diaudit secara menyeluruh dan mematuhi piawaian Halal yang ditetapkan.

Menurut JAKIM, Malaysia mempunyai sistem penilaian Halal antarabangsa yang ketat dan diiktiraf dunia, termasuk pemantauan berterusan ke atas badan pensijilan Halal luar negara. Hanya produk yang benar-benar menepati hukum syarak dan piawaian tempatan seperti MS 1500:2009 serta Protokol Halal Malaysia dibenarkan masuk.

Semua proses penyembelihan dan pemprosesan produk daging dari Australia yang dieksport ke Malaysia wajib mematuhi hukum syarak, Standard Malaysia MS 1500 serta Protokol Halal Malaysia. Proses audit ke atas rumah sembelih dan kilang pemprosesan dilakukan secara menyeluruh oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS). Bagi memastikan pemantauan berterusan, kerajaan turut menubuhkan Pejabat Atase Halal di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia untuk menjalankan audit berkala terhadap fasiliti yang diluluskan.

Tambahan pula, Jabatan Pertanian, dan Perhutanan Australia (DAFF) turut memainkan peranan penting dalam memastikan daging Halal yang dieksport memenuhi peraturan negara itu dan keperluan Halal Malaysia.

Setibanya di Malaysia, setiap kontena daging akan melalui pemeriksaan ketat oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Dokumen seperti sijil Halal, nota konsainan dan butiran import akan disemak sebelum produk dilepaskan ke pasaran.

JAKIM menegaskan bahawa tuduhan kononnya tiada pengauditan Halal adalah tidak berasas. Prosedur pemantauan dan piawaian ketat sentiasa dipatuhi demi memastikan umat Islam di Malaysia hanya menerima produk Halal yang diyakini.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang belum disahkan, serta digalakkan untuk merujuk kepada pihak berautoriti seperti JAKIM sekiranya timbul keraguan.

Sumber: Business Today.