SHAH ALAM – Seorang pembantu hal ehwal di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan berkaitan kes rasuah membabitkan kompaun terhadap sebuah syarikat yang disiasat oleh Bahagian Pengurusan Halal, dua tahun lalu.
Tertuduh, Amir Zubir, 45, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan, termasuk satu pertuduhan pilihan, dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut kertas pertuduhan, Amir yang bertugas di Bahagian Pengurusan Halal JAIS didakwa menerima wang tunai berjumlah RM8,000 secara rasuah daripada seorang pemilik syarikat. Wang tersebut dipercayai sebagai dorongan untuk mengurangkan bayaran kompaun terhadap syarikat terbabit yang sedang disiasat atas kesalahan berkaitan Halal.
Tindakan itu diklasifikasikan sebagai kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama. Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau minimum RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Sebagai alternatif, Amir turut berdepan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.
Pihak pendakwaan yang diketuai oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Alimi Mustapha, mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 berserta syarat tambahan seperti melapor diri di pejabat SPRM setiap awal bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi.
Peguam bela, Swinder Singh, merayu agar jumlah jaminan direndahkan memandangkan tertuduh telah berkhidmat selama 25 tahun di JAIS dan merupakan satu-satunya pencari nafkah kepada isteri, tiga anak serta ibunya yang berusia 75 tahun.
Hakim kemudiannya membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan menerima semua syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan. Kes akan disebut semula pada 24 September depan.
Sumber: Berita Harian.