MITEC, Kuala Lumpur, 19 September 2025 – Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor, hari ini telah berkenan untuk mencemar duli bagi menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Selangor Youth Community (SAY) dan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) bertempat di Bangunan MITEC, Kuala Lumpur.
MoU bersejarah ini menandakan permulaan kerjasama strategik di antara SAY dan MATRADE yang bertujuan untuk memperkasakan usahawan belia di negeri Selangor melalui program Liga Usahawan
Eksport Selangor (SAY ASPIRE). Antara intipati MoU ini, program SAY ASPIRE akan menerima manfaat besar, terutamanya dalam aspek bimbingan, pendedahan pasaran, akses kepada perpustakaan digital MATRADE dan jaringan perdagangan antarabangsa termasuklah perkongsian kepakaran dan jalinan kerjasama strategik jangka panjang antara SAY dan MATRADE, usahawan SAY ASPIRE diberikan akses langsung kepada pendaftaran sebagai MATRADE Member dan juga MADANI Digital Trade serta kemudahan akses kepada geran-geran yang disediakan oleh pihak MATRADE.
Upacara pertukaran dokumen MoU ini disempurnakan oleh Encik Aiman Syafiq bagi pihak SAY dan Dato’ Sri Mohd Mustafa Abdul Aziz, CEO MATRADE bagi pihak MATRADE, disaksikan sendiri oleh DYTM Raja Muda Selangor. MoU ini diyakini akan memberikan impak positif kepada para usahawan Selangor, khususnya para peserta dan alumni program SAY ASPIRE. Antara agenda utama dalam MoU ini adalah untuk memastikan para peserta program SAY ASPIRE lebih bersedia untuk menembusi pasaran antarabangsa dalam merealisasikan potensi perniagaan mereka.
Majlis ini turut dihadiri oleh kehadiran tetamu kehormat lain termasuklah wakil-wakil daripada kerajaan negeri Selangor, ahli-ahli lembaga pengarah MATRADE dan pengurusan tertinggi daripada kedua-dua organisasi, serta para peserta program SAY ASPIRE. Keberangkatan hadir DYTM Raja Muda Selangor bukan sahaja menyerikan majlis, malah melambangkan sokongan padu baginda terhadap inisiatif pembangunan belia dan keusahawanan di negeri Selangor.