KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah terus komited memperkukuh industri Halal sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu negeri, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa yang bernilai berbilion dolar.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata industri Halal kini merupakan salah satu penyumbang utama kepada perdagangan global, dan Sabah perlu mengambil peluang untuk membina kekuatan dalam sektor ini.
Beliau menyeru agar semua pihak termasuk kerajaan negeri, agensi-agensi berkaitan, sektor swasta dan komuniti usahawan berganding bahu mewujudkan ekosistem Halal yang mampan di Sabah.
“Industri Halal hanya akan berjaya jika kita bergerak bersama. Dengan sokongan menyeluruh, produk usahawan Sabah mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran luar negara,” katanya ketika merasmikan Program MyHalal Day Sabah 2025 yang berlangsung di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, pada Ahad.
Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif.
Sebagai usaha menyokong golongan usahawan kecil, kerajaan negeri melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah menyalurkan bantuan dalam bentuk peralatan asas bernilai RM5,000 kepada usahawan kotej dan mikro yang mengikuti Kursus Pengendalian Makanan Dalam Islam anjuran MUIS Halal Hub.
Menurut Hajiji, pensijilan Halal bukan hanya lambang kualiti dan kebersihan, malah merupakan kunci utama untuk menembusi pasaran Halal yang kian berkembang di dalam dan luar negara.
“Dengan menyertai industri Halal, usahawan dapat mempertingkatkan keupayaan mereka untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Oleh itu, industri Halal di Sabah, khususnya dalam kalangan pengusaha IKS, akan terus diperkasa dan dilindungi melalui MUIS Halal Hub,” katanya lagi.
Program MyHalal Day Sabah 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu telah memberi impak besar kepada usahawan menerusi pelbagai pengisian seperti klinik Halal, kursus pengendalian makanan, ceramah digital Halal, serta perkongsian maklumat daripada pihak perbankan berkenaan kemudahan pensijilan Halal.
Hajiji turut menyatakan harapan agar program seperti ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan Halal yang berdaya saing, serta menjadikan Sabah sebagai antara peneraju industri Halal serantau.
“Program sebegini amat penting dalam meningkatkan kesedaran usahawan untuk memohon sijil Halal dan melengkapkan mereka dengan ilmu asas bagi memperkukuh daya saing produk di pasaran,” ujarnya.
Sumber: Borneo Post Online.