Rusia berhasrat untuk meningkatkan eksport daging dan produk tenusu yang diperakui Halal ke Malaysia tahun ini sebagai sebahagian daripada strategi mereka untuk memperkukuh perdagangan dua hala, khususnya dalam sektor makanan dan pertanian.

Pengarah Jabatan Kerjasama Ekonomi Pelbagai Hala Kementerian Pembangunan Ekonomi Rusia, Nikita Kondratev, berkata banyak syarikat Rusia kini telah menerima pengiktirafan pensijilan Halal daripada pihak berkuasa Malaysia, sekali gus membuka peluang untuk akses pasaran yang lebih luas.

“Kerjasama kami dengan Malaysia dalam bidang Halal telah membolehkan banyak syarikat di Rusia memiliki pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Oleh itu, mungkin tahun ini kami akan mula mengeksport lebih banyak daging dan produk susu dari Rusia yang benar-benar memenuhi standard Halal yang tinggi,” katanya ketika ditemui Bernama sebelum menghadiri mesyuarat dua hala bersama Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Liew Chin Tong.

Sebagai timbal balas, Moscow berminat untuk mengimport pelbagai produk dari Malaysia termasuk barangan elektronik dan produk pertanian. Selain itu, Rusia juga menawarkan peluang untuk mengembangkan eksport baja dan produk farmaseutikal ke Malaysia, kata Nikita.

“Kami sudah bersedia untuk mengimport produk dari Malaysia, khususnya barangan elektronik dan produk pertanian yang pelbagai. Kami juga bersedia untuk mengeksport lebih banyak baja untuk sektor pertanian serta produk farmaseutikal ke Malaysia,” ujarnya.

Mesyuarat dua hala antara Rusia dan Malaysia ini berlangsung di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan di Kuala Lumpur hari ini, yang turut merangkumi Perundingan AEM-Rusia ke-14.

Sumber: BERNAMA