Langkah inovatif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memperkenalkan sijil Halal digital baharu menerima sambutan positif daripada penggiat industri makanan dan minuman (F&B), yang melihatnya sebagai transformasi penting dalam meningkatkan kecekapan operasi, ketelusan serta keyakinan pengguna terhadap status Halal produk.
Dilancarkan pada 1 Oktober lalu, sijil Halal digital MUIS menampilkan kod QR dengan kemas kini masa nyata, selain menawarkan tempoh sah lanjutan sehingga lima tahun berdasarkan tahap risiko Halal syarikat di bawah sistem Comprehensive Halal Risk Management (CHARM).
Menurut Eksekutif Kanan Pembangunan Produk Commonwealth Culinary Creations, Nur Rusydina Roslan, pelaksanaan sijil digital ini dijangka mempercepat proses kelulusan serta mengurangkan kebergantungan kepada sijil fizikal.
“Pelancaran produk baharu akan menjadi lebih cepat kerana kami tidak perlu menunggu sijil fizikal. Proses audit juga lebih lancar kerana kebanyakan pembekal kami turut mempunyai pensijilan MUIS,” jelasnya.
Beliau turut memuji paparan digital disertakan kod QR yang membolehkan pengguna mengesahkan kesahihan sijil secara terus melalui platform rasmi MUIS, sekali gus meningkatkan transparensi dan kepercayaan awam.
Pandangan sama dikongsi Pengurus Kawal Selia Halal Tenderfresh Group, Joffry Hamsani, yang menyifatkan sistem digital ini sebagai penyelesaian moden dan efisien.
“Maklumat lengkap boleh diakses melalui kod QR tanpa perlu menunggu sijil fizikal. Ia menjimatkan masa dan mengurangkan risiko sijil hilang, rosak atau tidak dikemas kini,” katanya.
Selain itu, MUIS turut memperkenalkan rangka kerja pengiktirafan baharu untuk Badan Pensijilan Halal Luar Negara (FHCB) bagi memperkukuh kepercayaan terhadap bahan mentah Halal yang diimport.
“Dengan penilaian sistematik terhadap badan luar, pengguna boleh lebih yakin terhadap status Halal produk import dan tempatan,” jelas Nur Rusydina.
Bagi Tenderfresh Group, langkah itu memberi jaminan tambahan terhadap kualiti bahan mentah Halal yang digunakan.
“Hanya badan luar yang diiktiraf MUIS diterima, memastikan piawaian Halal yang konsisten,” tambah Joffry.
Pendigitalan keseluruhan sistem MUIS turut dilihat sebagai usaha memperkukuh kecekapan operasi, pemantauan masa nyata serta keselamatan makanan di Singapura.
“Platform digital ini mempercepat semakan, mengukuhkan jaringan global dan memudahkan kerjasama dengan pembekal antarabangsa,” jelas Joffry.
Kedua-dua syarikat, Commonwealth Culinary Creations dan Tenderfresh Group, yakin bahawa pendigitalan sijil Halal ini akan menjadi landasan baharu kepada industri Halal Singapura — menjadikannya lebih cekap, dipercayai dan sejajar dengan arus globalisasi Halal.
Sumber: BERITA Mediacorp.