BANGI, 30 Oktober 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menzahirkan penghargaan terhadap komitmen berterusan Kolej UNITI dan UNITI Halal Centre (UHAC) dalam memperkasa pembangunan bakat halal melalui penganjuran Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal (PEH) yang telah menjadi platform tahunan sejak tahun 2022.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, usaha gigih Kolej UNITI dan UHAC bukan sahaja memperkukuh ekosistem latihan halal negara, tetapi turut membuktikan keupayaan institusi berkenaan sebagai Penyedia Latihan Halal (PLH) yang diiktiraf secara rasmi oleh JAKIM.

“UHAC menunjukkan dedikasi tinggi dalam meningkatkan kompetensi dan profesionalisme warga halal Malaysia. Tahniah dan syabas kepada Kolej UNITI Port Dickson dan UHAC atas usaha konsisten menjayakan persidangan ini setiap tahun,” katanya.

Ucapan beliau dibacakan oleh Penolong Pengarah Kanan Seksyen Advokasi Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Mohd Shahril Abd Samat, pada Malam Penghargaan dan Jaringan Industri PEH25 di Bangi Avenue Convention Centre malam tadi.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa; Ketua Eksekutif Kolej UNITI Kota Bharu, Seri Banun Bahtiar; serta Pengarah PEH25, Elyas Harun.

Peranan Eksekutif Halal Semakin Kritikal

Datuk Dr Sirajuddin menegaskan bahawa peranan eksekutif halal amat penting dalam memastikan Sistem Pensijilan Halal Malaysia (SPHM) kekal berintegriti, diyakini dan patuh syariah.

“Eksekutif halal bukan sekadar memeriksa dokumen atau menjalankan audit. Mereka sebenarnya memikul amanah menjaga maruah dan kepercayaan umat Islam terhadap jenama Halal Malaysia.
Bagi JAKIM, mereka adalah duta industri halal yang menjadi benteng memastikan piawaian halal terus dipatuhi,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa industri halal kini berdepan cabaran baharu dengan kemunculan pelbagai inovasi, teknologi digital dan produk global yang menuntut eksekutif halal untuk sentiasa berilmu, cekap dan beretika tinggi.

PEH25 Kukuhkan Jaringan Industri dan Profesionalisme

Persidangan PEH25 yang berlangsung selama dua hari menghimpunkan lebih 300 eksekutif halal dari seluruh negara, melibatkan pelbagai syarikat, agensi kerajaan, dan institusi akademik.

Program ini menjadi wadah penting bagi membincangkan isu semasa, hala tuju, serta cabaran industri halal Malaysia, selain membina jaringan strategik antara pemain industri dan penyedia latihan halal.

“Dalam usia pensijilan halal Malaysia yang kini mencecah 51 tahun, perjuangan memartabatkannya tidak boleh terhenti. Eksekutif halal berjiwa besar ialah aset utama meneruskan legasi kecemerlangan ini,” tambah Sirajuddin.

Beliau turut menegaskan bahawa PEH ialah platform terbaik bagi menyatukan seluruh pemain industri halal ke arah satu matlamat bersama — memastikan jenama Halal Malaysia kekal unggul di peringkat global.

Sumber : SINAR HARIAN