Industri takaful Malaysia terus menunjukkan pertumbuhan kukuh apabila jumlah aset direkodkan sebanyak RM62.54 bilion setakat pertengahan tahun 2025, hampir dua kali ganda berbanding RM41.87 bilion pada tahun 2020.
Pengerusi Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Wan Saifulrizal Wan Ismail, berkata kadar penembusan takaful negara turut meningkat kepada 19.54% setakat pertengahan tahun, mencerminkan kesedaran masyarakat yang semakin tinggi terhadap kepentingan perlindungan kewangan Islam.
Menurutnya, segmen takaful keluarga kini mempunyai 6.69 juta sijil aktif sehingga Ogos 2025, meningkat ketara berbanding 4.55 juta sijil sedekad lalu. Sementara itu, jumlah sumbangan tahunan keseluruhan melebihi RM9.87 bilion bagi tempoh sama.
“Ketika ini, terdapat lebih daripada 6.69 juta sijil takaful keluarga aktif dan 113,000 wakil takaful berdaftar di seluruh negara,” katanya dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak Pemimpin dan Ejen Takaful 2025 (TLAS25) di sini hari ini.
Wan Saifulrizal, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN Takaful Berhad, turut berkongsi bahawa sebanyak RM7.89 bilion tuntutan telah dibayar pada tahun 2024, menjadikan jumlah keseluruhan tuntutan takaful keluarga yang dibayar sejak 2015 kepada RM45.46 bilion setakat Disember 2024.
Beliau menegaskan, pencapaian ini mencerminkan usaha kolektif pelbagai pihak dalam memperkukuh ekosistem industri – merangkumi dasar, inovasi, dan pendidikan masyarakat tentang kepentingan takaful
sebagai perlindungan mampan jangka panjang.
Sidang kemuncak TLAS25, yang kini memasuki edisi ketiga, menghimpunkan pemimpin industri bagi berkongsi pandangan terkini, bertukar idea, serta membincangkan cabaran dan hala tuju masa depan
sektor takaful di Malaysia.
Dengan tema “Shaping the Future Takaful: Lead the Shift”, Wan Saifulrizal menegaskan bahawa TLAS25 bukan sekadar acara tahunan, tetapi platform penting bagi memperkukuh komitmen dan memberi inspirasi baharu dalam memperkasakan industri takaful negara.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Tingkah Laku Pengguna dan Pasaran Bank Negara Malaysia (BNM), Lau Chin Ching, menyeru agar ejen takaful berubah seiring era digital dengan menjadi lebih celik teknologi, beretika dan berorientasikan tujuan (purpose-driven).
“Dengan kemunculan chatbot dan platform dalam talian, teknologi boleh menggantikan fungsi ejen dari segi penyampaian maklumat. Namun, teknologi tidak mampu menyampaikan empati atau membaca keresahan wajah pelanggan,” katanya dalam ucapan bertajuk “Beyond Compliance: Building a Purpose-Driven Takaful Industry.”
Beliau menegaskan ejen takaful perlu mengekalkan hubungan sinergi dengan pengendali takaful dan memainkan peranan sebagai jambatan utama antara syarikat dan pelanggan, sambil memastikan kepentingan pengguna sentiasa diutamakan.
Sumber: Bernama Biz.