KUALA LUMPUR, 15 November 2025 – Jenama kafe tempatan terkenal, Richiamo Coffee Sdn Bhd, melakar satu lagi kejayaan penting apabila secara rasmi menerima Pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) baru-baru ini, sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam industri F&B halal tempatan dan global.

Majlis penyerahan sijil tersebut disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Muhyidin Aziz @ Saari, kepada Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo, Datuk Muhamad Zamry Abu Samah, dalam satu majlis yang berlangsung penuh simbolik baru-baru ini.

Tiga Cawangan Utama Richiamo Terima Sijil Halal

Dalam majlis berkenaan, turut diumumkan bahawa tiga cawangan utama Richiamo Coffee turut menerima pensijilan halal rasmi, iaitu:

  • Richiamo Coffee Taman Velox, Rawang,
  • Richiamo Coffee Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, dan
  • Richiamo Coffee UTMKL, Kuala Lumpur.

Menurut Datuk Muhamad Zamry, pensijilan halal ini amat bermakna dalam perjalanan 10 tahun operasi Richiamo Coffee, khususnya dalam misi jenama tersebut untuk memperluas cawangan dan menembusi pasaran antarabangsa.

“Pensijilan halal JAKIM bukan sekadar lambang kepercayaan pengguna Muslim, tetapi juga kunci utama bagi kami memperkukuh strategi pengembangan jenama ke luar negara,” katanya.

Richiamo Fokus Pasaran Global dan Produk Eksport Halal

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa Richiamo kini memberi tumpuan serius terhadap pensijilan halal bagi memudahkan proses eksport produk ke pasaran antarabangsa, terutamanya di Timur Tengah dan Asia Tenggara.

“Pensijilan halal JAKIM diiktiraf di peringkat global dan melalui proses yang ketat. Ia memberikan keyakinan kepada pelanggan antarabangsa terhadap kualiti dan keaslian produk kami,” jelasnya.

Beberapa produk pra-campuran (premix) Richiamo Coffee kini sudah pun mendapat pengiktirafan halal dan telah dieksport ke pasaran luar negara. Namun, katanya, beberapa produk baharu masih dalam proses ujian dan pemeriksaan oleh pihak JAKIM bagi tujuan kelulusan rasmi.

Eksekutif Halal Dilantik Pantau Rantaian Bekalan

Dalam memastikan pematuhan berterusan terhadap piawaian halal, Richiamo Coffee turut melantik eksekutif halal dalaman yang bertanggungjawab memantau setiap rantaian bekalan daripada pembekal sehingga ke penyediaan makanan dan minuman di setiap cawangan.

Langkah ini, katanya, adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Richiamo Coffee untuk mengekalkan integriti halal dan kebersihan operasi di semua premis.

“Kami ingin memastikan setiap produk yang dihidangkan bukan sahaja lazat, tetapi juga diyakini halal dan suci mengikut syariah,” katanya.

Richiamo Kembangkan Operasi Ke Peringkat Antarabangsa

Dalam perkembangan terbaru, Richiamo Coffee baru sahaja membuka cawangan antarabangsa pertamanya di Phnom Penh, Kemboja, minggu lalu.
Pembukaan itu adalah lanjutan daripada pembukaan beberapa cawangan baharu di ASWARA dan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS), Shah Alam.

“Pensijilan halal ini amat penting sebagai langkah strategik untuk memperkenalkan jenama Richiamo Coffee ke pasaran luar negara,” ujar Muhamad Zamry optimis.

Dengan visi “Halal, Premium dan Tempatan”, Richiamo Coffee kini berada pada landasan kukuh untuk menjadi antara jenama kafe halal terkemuka dari Malaysia ke pentas global.

Sumber :  SINAR HARIAN