KOTA BHARU, 17 Nov – Tindakan tegas diambil terhadap dua premis perniagaan di Kelantan selepas didapati menggunakan logo halal tanpa sijil pengesahan yang sah daripada pihak berkuasa. Operasi Bersepadu yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) kelmarin berjaya mengesan kesalahan tersebut ketika melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap penggunaan logo halal di premis terlibat.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, berkata fokus operasi ini adalah untuk memastikan tiada peniaga yang memaparkan logo halal palsu atau tidak diiktiraf, terutamanya pada produk makanan dan minuman seperti kopi kesihatan yang sering menjadi pilihan pengguna.

“Semasa pemeriksaan, kita mendapati kedua-dua premis menayangkan logo halal pada produk yang dijual walaupun mereka tidak memiliki sebarang sijil pengesahan halal daripada JAHEAIK. Kesalahan ini jelas melanggar Perintah 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, iaitu memperakukan makanan atau perkhidmatan sebagai halal tanpa dokumen sah,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Beliau memaklumkan bahawa premis pertama yang terletak di Kampung Kubang Kacang telah disita dengan jumlah rampasan bernilai RM3,513.24, manakala premis kedua di Kampung Penambang melibatkan rampasan bernilai RM1,410. Kesemua produk yang menggunakan label halal tanpa kebenaran dirampas untuk tujuan siasatan lanjut.

Menurut Azman, tindakan mahkamah akan diambil selepas siasatan selesai dijalankan bagi memastikan pemilik premis bertanggungjawab sepenuhnya atas perbuatan tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa KPDN Kelantan akan terus mempergiatkan operasi bersama agensi agama bagi melindungi pengguna daripada penipuan halal, selain memastikan hanya logo halal yang diperakui digunakan oleh peniaga.

“Kami komited memastikan integriti penggunaan logo halal dipelihara. Tindakan seperti ini bukan sahaja penting untuk menjaga kepentingan pengguna Muslim, tetapi juga bagi mengekalkan kepercayaan terhadap sistem pensijilan halal negara,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan menyemak status halal produk melalui platform rasmi seperti halal.gov.my atau aplikasi pengesahan halal yang diiktiraf.

Sumber : MALAYSIA GAZZETE