KUALA LUMPUR – Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Afrika Selatan dari 20 hingga 23 November dijangka memberi impak besar dalam memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan Afrika Selatan, khususnya dalam aspek pengurusan halal, pembangunan kapasiti serta inovasi industri. Langkah diplomasi ini turut memperluas jaringan kerjasama dua hala dalam sektor-sektor yang dikenali sebagai pemacu ekonomi global masa depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, komitmen ini bukan sahaja meneguhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal dunia, malah membantu memperkasa pembangunan ekosistem halal global agar lebih mampan, tersusun dan inklusif.

Menurut beliau, hubungan Malaysia–Afrika Selatan dalam bidang halal sebenarnya telah lama terjalin secara formal melalui pengiktirafan beberapa badan pensijilan halal luar negara oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Antara badan yang diiktiraf ialah National Independent Halaal Trust (NIHT) di Johannesburg, South African National Halaal Authority (SANHA) di Kwazulu Natal serta Muslim Judicial Council Halaal Trust (MJCHT) di Cape Town.

“Pengiktirafan ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuh jaminan halal di peringkat global dan memastikan standard halal Malaysia terus dihormati serta dipercayai oleh masyarakat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Mohd Na’im menambah, JAKIM sentiasa proaktif berkongsi kepakaran melalui program pembangunan kapasiti, peningkatan kemahiran serta perkongsian ilmu kepada negara rakan strategik. Usaha ini penting bagi memastikan ekosistem halal global dibangunkan secara lebih holistik dan mampan, selaras aspirasi Malaysia untuk menjadi hab rujukan halal antarabangsa.

Lawatan Anwar ke Afrika Selatan turut diadakan atas jemputan rasmi Presiden negara itu, Matamela Cyril Ramaphosa, yang juga memegang jawatan Presiden Kumpulan 20 (G20) bagi tahun 2025. Selain pertemuan rasmi kerajaan-ke-kerajaan, Perdana Menteri dijadualkan mengadakan sesi libat urus bersama pimpinan Islam setempat bagi membincangkan peluang kerjasama dalam memperkasa pembangunan ummah di peringkat global.

Perdana Menteri kini meneruskan rangka lawatan rasmi ke beberapa negara di benua Afrika sempena Sidang Kemuncak G20, dengan Afrika Selatan sebagai destinasi keduanya. Lawatan ini dilihat sebagai langkah penting ke arah memperluas diplomasi halal, meningkatkan keyakinan pelabur serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi halal dunia.

Sumber : BERNAMA