KUALA LUMPUR, 6 Disember – Selangor sekali lagi memperkukuh reputasinya sebagai negeri peneraju pembangunan ekosistem halal di Malaysia, dengan ratusan syarikat kini diiktiraf melalui sistem pengurusan dan penyeliaan halal yang telus, berintegriti serta berakauntabiliti tinggi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pencapaian tersebut bukan muncul secara tiba-tiba, sebaliknya hasil usaha tersusun lebih setengah abad yang melibatkan kolaborasi erat antara kerajaan negeri, industri dan masyarakat.

Menurut beliau, keberkesanan tadbir urus halal bukan sahaja meningkatkan keyakinan pengguna, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat Selangor, khususnya melalui pembangunan usahawan kecil dan mikro serta akses pembiayaan yang dipermudahkan menerusi institusi kewangan negeri dan rakan strategik.

“Tadbir urus halal adalah contoh jelas bagaimana nilai Al-Quran boleh diterjemahkan ke dalam dasar dan sistem pentadbiran. Selama lebih setengah abad, Selangor berusaha membangunkan struktur pengawasan halal yang mapan, menjadikannya amanah bersama antara kerajaan, industri dan masyarakat,” katanya ketika merasmikan World #QuranConvention, anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, di sini.

Amirudin menegaskan bahawa walaupun sektor halal menjadi manifestasi jelas ekonomi berasaskan wahyu, ia hanyalah satu contoh daripada misi lebih besar iaitu menjadikan setiap dasar negeri berpaksikan prinsip keadilan, ihsan dan amanah seperti dituntut dalam Al-Quran.

Al-Quran Sebagai Teras Kepimpinan & Dasar Negeri

Beliau turut berkongsi bahawa pentadbiran Selangor kini menerapkan pendekatan pembangunan berlandaskan Al-Quran, menjadikan kitab suci itu sebagai rujukan dalam merangka dasar dan memperkukuh fungsi kepimpinan.

Katanya, Surah Al-Balad ayat 17 menjadi asas kepimpinan yang menolak eksploitasi dan menyeru kepada rasa kebersamaan, manakala Surah Al-Saff dijadikan panduan untuk menyelaraskan tindakan, memperkukuh disiplin dan menyatukan masyarakat.

Pendekatan ekonomi Quranik itu, jelas beliau, membolehkan Selangor memacu pembangunan secara adil, telus dan lestari sambil memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat pelbagai lapisan.

Platform Global Kukuhkan Ekonomi Quranik

World #QuranConvention edisi kelima kali ini membawa tema Surah Al-Saff: Quranic Solutions for Global Economic Challenges, yang mengetengahkan bagaimana nilai-nilai Quranik dapat diaplikasikan dalam menangani cabaran ekonomi moden seperti etika perniagaan, pelaburan mampan, pembangunan komuniti dan tanggungjawab sosial korporat.

Konvensyen dua hari itu menghimpunkan pemimpin global ekonomi, ulama dan aktivis masyarakat dari lebih 20 negara, termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Iran, Brunei dan Indonesia.

Penyertaan pelbagai negara ini membuktikan pengaruh nilai Al-Quran dalam membentuk ekosistem ekonomi holistik serta menjadikan Selangor contoh utama model pembangunan berasaskan integriti dan keberkahan.

Sumber : BERITA RTM