HANOI – Vietnam terus menunjukkan komitmen tinggi dan potensi besar sebagai penggerak penting dalam rantaian bekalan halal global susulan penyertaan aktif negara itu dalam Sidang Kemuncak Halal Dunia Ke-11 dan Halal Expo 2025 yang berlangsung di Istanbul, Türkiye dari 26 hingga 29 November.

Acara berprestij ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap pelbagai dimensi ekonomi halal, mengukuhkan pembangunan industri serta merangsang kerjasama antarabangsa. Penganjuran dibuat di bawah penaungan Presiden Türkiye, dengan kerjasama Standards and Metrology Institute for Islamic Countries (SMIIC), Islamic Centre for Development of Trade (ICDT) dan agensi-agensi di bawah Organisation of Islamic Cooperation (OIC).

Sidang kemuncak tersebut menghimpunkan pakar antarabangsa, pegawai kerajaan, akademik, serta sarjana undang-undang Islam dari 18 negara. Ia menampilkan 59 penceramah dan kira-kira 9,000 delegasi, dengan perbincangan merangkumi aspek kritikal ekonomi halal seperti kewangan, pelancongan, makanan, farmaseutikal, kosmetik dan tekstil.

Sementara itu, Halal Expo 2025 yang diadakan serentak menarik lebih 500 pempamer dari sekitar 40 negara. Pameran merentas pelbagai sektor seperti makanan halal, kosmetik, kewangan dan pelancongan, serta menerima kehadiran antara 40,000 hingga 50,000 pengunjung dari lebih 110 negara. Lebih 5,000 sesi padanan perniagaan (B2B) turut berlangsung sepanjang acara tersebut.

Vietnam tampil menyerlah melalui penyertaan dua gerai pameran yang mempamerkan produk-produk pelbagai kategori termasuk hasil pertanian, makanan, kosmetik, herba ubatan serta perkhidmatan pelancongan. Kehadiran aktif perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Vietnam bukan sahaja mempromosikan imej produk negara itu, malah mengukuhkan keyakinan terhadap potensi Vietnam dalam pasaran halal global yang berkembang pesat.

Semasa sidang kemuncak, perwakilan Vietnam mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung SMIIC, Ihsan Övüt, serta Pengerusi Lembaga Agensi Akreditasi Halal Türkiye (HAK), Zafer Soylu. Perbincangan berkisar kepada pembangunan standard halal sepunya, sistem akreditasi di Türkiye, kelebihan strategik Vietnam, serta peluang kerjasama dua hala pada masa depan.

Delegasi dari wilayah Lam Dong turut mengambil kesempatan mengadakan lawatan ke wilayah Konya, sebuah pusat pertanian dan perindustrian utama di Türkiye, bagi meneroka peluang kerjasama perniagaan.

Penyertaan ini secara keseluruhan mengesahkan aspirasi Vietnam untuk mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem halal global menerusi penyertaan aktif, kerjasama antarabangsa dan pengukuhan standard industri.

Sumber : VIETNAM PLUS