KUALA LUMPUR – Industri halal terus diangkat sebagai pelindung, pemacu dan aset strategik ekonomi Islam global, sekali gus menuntut komitmen tinggi daripada semua negara Islam untuk memelihara integriti dan keberdayaannya.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Iszam Padil, menegaskan bahawa keunikan industri halal tidak dimiliki oleh negara bukan Islam, menjadikan ia satu kelebihan eksklusif yang perlu dijaga bersama.

“Industri halal adalah satu-satunya kekuatan yang kita ada sebagai komuniti Islam. Negara bukan Islam tidak ada kelebihan ini. Ia mesti berasal daripada negara Islam dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perkongsian industri halal sempena World#QuranConvention (WQC) 2025 yang berlangsung di Perdana Hall, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Ahad.

Halal Sebagai Tanggungjawab Bersama Ummah Global

Menurut Iszam, kebertanggungjawaban menjaga integriti halal tidak hanya terletak di bahu institusi pensijilan, tetapi turut perlu dipikul seluruh komuniti Muslim di mana sahaja mereka berada – sama ada di Malaysia, Amerika Syarikat atau negara minoriti Muslim lain.

Beliau menegaskan bahawa umat Islam wajar memastikan setiap produk yang diiklankan sebagai halal benar-benar memenuhi standard syarak dan tidak bersandar kepada tuntutan semata-mata.

Permintaan Halal Global Kian Meningkat

Iszam turut memaklumkan bahawa industri halal kini berkembang jauh melangkaui bidang makanan, merangkumi sektor kosmetik, ubat-ubatan, peralatan perubatan, penjagaan diri serta perkhidmatan.

Lebih signifikan, permintaan terhadap pensijilan halal JAKIM kini bukan sahaja datang dari negara Islam, malah semakin meningkat dalam kalangan negara bukan Islam. Ini disebabkan reputasi tinggi sijil halal Malaysia yang dianggap antara paling ketat, berwibawa dan dipercayai di dunia.

“Sijil halal JAKIM dianggap bertaraf dunia. Negara-negara bukan Islam sendiri mengiktiraf kredibilitinya,” jelas beliau.

Keprihatinan Terhadap Kurangnya Usahawan Tempatan Memohon Sijil Halal

Dalam masa yang sama, Iszam meluahkan kekesalan kerana masih ramai pengusaha tempatan tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap pemilikan sijil halal, sedangkan permintaan di peringkat global semakin meningkat.

Beliau menegaskan bahawa sijil halal Malaysia bukan sekadar memenuhi tuntutan agama, tetapi turut membuka akses pasaran lebih luas, meningkatkan keyakinan pengguna serta mengukuhkan daya saing produk tempatan di peringkat antarabangsa.

WQC 2025 Platform Penyatuan Ummah dan Pengukuhan Ekonomi Halal

World#QuranConvention 2025 meneruskan tradisinya sebagai platform ilmiah yang menyatukan komuniti global, termasuk pakar ekonomi Islam, ulama, serta pemain industri, bagi memperkukuh kefahaman mengenai nilai al-Quran dalam membangunkan ekonomi yang telus, integriti dan mapan.

Acara tahun ini turut menyorot kepentingan industri halal sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan ummah dan keperluan memastikan seluruh rantaian nilai halal terus dilindungi dan diperkasakan.

Sumber : SINAR HARIAN