KUALA LUMPUR, 12 Disember – Penubuhan Rumah Sembelih Colla (RSC) di Kuala Selangor dilihat sebagai satu langkah strategik dalam usaha memperkasa industri daging halal tempatan, sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kemudahan moden itu berperanan penting dalam meningkatkan kapasiti penyembelihan dan pemprosesan daging halal negara, selain mengukuhkan rantaian bekalan dari peringkat ladang sehingga kepada pengguna akhir.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan RSC di Kuala Selangor semalam, yang dibangunkan sebagai fasiliti penyembelihan dan pemprosesan daging halal berteknologi tinggi.

Menurut Mohamad, RSC mempunyai keupayaan menyembelih dan memproses antara 18 hingga 20 ekor lembu sejam, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi serta memastikan bekalan daging tempatan dapat disalurkan secara lebih tersusun dan berterusan.

“Keupayaan ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti industri, malah membantu mengukuhkan rantaian bekalan daging halal dari ladang terus kepada pengguna,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Beliau turut menjelaskan bahawa RSC dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bertaraf industri termasuk bilik sejuk (cold room), blast freezer, sistem kebersihan bersepadu, serta prosedur keselamatan makanan yang ketat, selaras dengan keperluan industri pemprosesan makanan halal.

Dengan kewujudan fasiliti ini, Mohamad berkata bekalan daging tempatan dapat dipastikan lebih stabil, selamat dan berkualiti, selain membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat di Kuala Selangor, termasuk penternak, usahawan daging dan pekerja sokongan industri.

Tambah beliau, RSC turut menyediakan ruang kepada penternak dan pengusaha daging tempatan untuk mendapatkan perkhidmatan penyembelihan, pemprosesan dan penyimpanan yang lebih sistematik serta berkualiti tinggi, yang sebelum ini lebih banyak bergantung kepada kemudahan luar.

Dalam masa yang sama, Mohamad menyambut baik inisiatif Colla dalam memperkukuh portfolio daging premium tempatan menerusi penternakan baka MyGyu, yang mampu menghasilkan daging berkualiti tinggi setanding dengan Wagyu import, namun ditawarkan pada harga yang lebih berpatutan.

Usaha tersebut dilihat sebagai satu pendekatan mampan bagi meningkatkan nilai industri ternakan tempatan, selain mengurangkan kebergantungan kepada import daging premium dari luar negara.

“Insya-Allah, pelancaran RSC ini membawa kita semakin hampir kepada sasaran meningkatkan tahap sara diri daging tempatan, di samping memperkukuh keterjaminan makanan negara secara menyeluruh,” katanya.

Pelancaran RSC juga mencerminkan komitmen kerajaan untuk menyokong pembangunan ekosistem industri halal negara yang lebih berdaya saing, moden dan berteraskan piawaian keselamatan makanan yang tinggi.

Sumber : MALAYSIA GAZZETE