BESUT, TERENGGANU – Usaha memperkukuh kefahaman generasi muda terhadap sains, teknologi dan industri halal terus diperkasakan menerusi penganjuran Program Halal @ STEM yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Nestlé Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelagat, Besut.
Program pendidikan itu memberi pendedahan awal kepada 150 pelajar tingkatan satu hingga empat mengenai hubungan erat antara konsep halal dengan pendekatan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sekali gus membuka perspektif baharu tentang potensi bidang halal sebagai laluan pengajian dan kerjaya masa depan.
Inisiatif tersebut dirangka bukan sekadar sebagai aktiviti kesedaran, malah bertujuan memupuk minat pelajar terhadap bidang halal berasaskan STEM melalui pendekatan pembelajaran yang praktikal, interaktif dan berstruktur. Para peserta didedahkan kepada asas sains halal, prinsip pensijilan halal, serta aplikasi teknologi moden dalam industri halal.
Program dimulakan dengan sesi Pengenalan Halal dan Sains Halal, sebelum diteruskan dengan modul yang merangkumi elemen sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik. Melalui modul ini, pelajar berpeluang memahami peranan analisis saintifik, penggunaan peralatan makmal seperti mikroskop, serta aplikasi teknologi digital dalam memastikan pematuhan dan kualiti produk halal.
Selain itu, peserta turut didedahkan kepada bagaimana elemen matematik dan kejuruteraan digunakan dalam proses pembangunan, pemprosesan dan penghasilan produk halal secara sistematik dan selamat.
Guru SMK Pelagat, Mohd Tarmizi Abdul Kadir, menyifatkan program Halal @ STEM sebagai satu inisiatif yang signifikan kerana membuka ruang kerjasama strategik antara sekolah, universiti dan industri.
“Inisiatif UPM dan Nestlé ini amat dihargai kerana ia memberi pendedahan awal yang realistik kepada pelajar, sekali gus memupuk minat mereka terhadap bidang STEM dan menjadikannya sebagai pilihan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Halal Nestlé Malaysia, Nasrul Hadi Mohamed Nor, menegaskan kepentingan generasi muda memahami kaitan antara sains, teknologi dan penghasilan produk halal.
Menurutnya, program seumpama ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa sektor berteknologi tinggi dan digital, sekali gus mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal global.
Pengarah Program, Dr Yazid Yaakob, pula berkata pendekatan pembelajaran secara hands-on memberi impak besar dalam meningkatkan kefahaman serta minat pelajar terhadap STEM dan industri halal.
“Penyertaan aktif pelajar secara praktikal diharap dapat memupuk kesedaran dan minat mereka terhadap bidang STEM, serta mendorong mereka memilih laluan sains dan teknologi dalam pembelajaran dan kerjaya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa IPPH, UPM dan Nestlé Malaysia merancang untuk meneruskan penganjuran program Halal @ STEM dari semasa ke semasa sebagai usaha berterusan menyokong pembangunan bakat muda, khususnya dalam kalangan pelajar menengah rendah.
Sumber : HARIAN METRO