PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, menegaskan komitmen penuh beliau untuk memastikan Malaysia terus mengekalkan kedudukan sebagai peneraju dan juara industri halal, bukan sahaja di peringkat domestik malah di pentas antarabangsa.

Menurut beliau, kejayaan tersebut dapat dicapai sekiranya kepimpinan baharu di kementerian berkenaan mampu meneruskan kesinambungan dasar, strategi dan kecemerlangan yang telah dibina oleh kepimpinan terdahulu. Dr Zulkifli turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara beliau dan Timbalan Menteri, Marhamah Rosli, dalam memastikan agenda Hal Ehwal Agama terus diperkukuh.

“Sebenarnya kita sudah mempunyai rekod prestasi yang sangat baik. Malaysia telah diiktiraf sebagai negara terbaik dalam industri halal di dunia. Kita telah mengiktiraf lebih 92 badan pensijilan halal di seluruh dunia dari 47 buah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Kompleks Islam Putrajaya, hari ini, bersempena hari pertama beliau memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Dr Zulkifli menambah, pengiktirafan luas terhadap sistem halal Malaysia membuktikan negara berada pada landasan yang tepat, namun usaha berterusan masih diperlukan bagi memastikan Malaysia terus mendahului negara lain dalam industri halal global.

“Ini menunjukkan kita sudah berada di tahap terbaik, tetapi kita juga telah mempunyai rangka pelan yang kukuh dan strategik untuk memastikan Malaysia terus bergerak ke hadapan dan kekal menjuarai industri halal di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Pada majlis tersebut, Dr Zulkifli bersama Timbalan Menteri, Marhamah Rosli, turut mengimbas kad perakam waktu kira-kira jam 12.18 tengah hari sebagai simbolik bermulanya tugas rasmi mereka di kementerian berkenaan.

Selain memberi fokus kepada industri halal, Dr Zulkifli turut menyatakan tekad untuk membina pasukan kerja yang mantap dan berintegriti dalam kesemua 14 agensi di bawah seliaan kementeriannya.

“Kita melihat amanah ini sebagai satu taklif dan tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan ketulusan. Ia menuntut keharmonian, perpaduan serta kesatuan hati dan minda dalam melaksanakan urusan hal ehwal agama di Malaysia,” katanya.

Mengulas hala tuju kepimpinannya, beliau menegaskan bahawa peranan Hal Ehwal Agama perlu kekal relevan, signifikan dan memberi impak besar kepada masyarakat serta pembangunan negara secara keseluruhan.

“Apa yang ingin kita bawakan ialah imej Islam sebagai agama yang rahmah, inklusif, damai, berteraskan maqasid, wasatiyyah dan meraikan kepelbagaian. Dalam masa yang sama, Islam yang progresif dan berkemajuan,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi menzahirkan keindahan Islam sebagai agama yang membawa kebaikan dan kerahmatan bukan sahaja kepada umat Islam, malah kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.

Sumber : MALAYSIA GAZETTE