KUALA LUMPUR, 23 Disember — Malaysia mencatat satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara serta memantapkan ekosistem halal apabila ayam belanda dari Rusia yang disahkan halal secara rasmi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diperkenalkan ke pasaran tempatan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata pengenalan ayam belanda halal dari Rusia itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk mempelbagaikan sumber protein negara, di samping memastikan pematuhan ketat terhadap keperluan halal, keselamatan makanan serta standard kualiti yang tinggi.

Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja memberi pilihan baharu kepada pengguna tempatan, malah menandakan kerjasama dua hala yang kukuh antara Malaysia dan Rusia dalam bidang perdagangan makanan, jaminan halal serta pengukuhan ketahanan rantaian bekalan makanan.

“Pengimportan ayam belanda dari Rusia ini dilaksanakan berdasarkan pematuhan sepenuhnya terhadap syarat kemasukan import Malaysia, termasuk pengiktirafan Wilayah Penza sebagai kawasan bebas penyakit selesema burung berpatogenik tinggi (HPAI),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengenalan ayam belanda halal dari Rusia bertemakan From Russia With Love yang berlangsung di sini, hari ini.

Mohamad menjelaskan bahawa kemasukan ayam belanda halal tersebut ke pasaran Malaysia turut merealisasikan janji yang dibuat semasa lawatan kerja Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, ke Rusia pada Mei lalu, iaitu memastikan produk ayam belanda dari negara itu dapat dinikmati rakyat Malaysia sempena musim perayaan tahun ini.

“Rakyat Malaysia kini boleh menikmati ayam belanda yang halal, selamat dan berkualiti tinggi, sama ada untuk sambutan perayaan atau sebagai pilihan makanan harian,” katanya lagi.

Majlis pengenalan produk tersebut telah disempurnakan oleh Mohamad dan turut dihadiri Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia, Naiy M Latypov, sekali gus menzahirkan kepentingan hubungan strategik antara kedua-dua negara, khususnya dalam sektor agromakanan dan industri halal.

Sebagai rekod, nilai perdagangan keseluruhan antara Malaysia dan Rusia dianggarkan mencecah kira-kira USD3 bilion setahun. Sementara itu, setakat September tahun ini, nilai perdagangan bagi sektor agromakanan antara kedua-dua negara direkodkan sebanyak RM2.5 bilion, mencerminkan potensi besar kerjasama yang terus berkembang dalam bidang tersebut

Sumber : BERNAMA