Bagi kebanyakan pelanggan, restoran K Garden hari ini dikenali sebagai sebuah restoran BBQ Korea yang sibuk, meriah dan diyakini halal. Namun di sebalik kejayaan itu, tersimpan sebuah perjalanan panjang yang penuh cabaran dan pengorbanan oleh pasangan selebriti media sosial, Ryzal Ibrahim dan isterinya, Maryam You Narae.

Ketika ditemui baru-baru ini, Ryzal berkongsi pengalaman pahit yang terpaksa dilalui dalam usaha mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi restoran milik mereka. Proses permohonan tersebut sebenarnya telah dimulakan sejak tahun lalu, namun berdepan pelbagai halangan yang tidak dijangka.

Menurut Ryzal, masalah bermula apabila mereka melantik seorang konsultan halal untuk menguruskan permohonan, namun konsultan tersebut gagal menjalankan tanggungjawab dengan betul. Lebih mengejutkan, selepas membuat semakan sendiri, mereka mendapati individu terbabit sebenarnya tidak diiktiraf oleh JAKIM.

“Permohonan halal kami dah lama mula, tapi sangkut sebab konsultan tak buat kerja. Bila kami semak, rupanya dia sendiri tak berdaftar dengan JAKIM,” katanya.

Apa yang lebih menyedihkan, pasangan itu telah mengeluarkan hampir RM10,000 sebagai bayaran perkhidmatan konsultan tersebut. Namun wang berkenaan akhirnya menjadi kerugian apabila maklumat yang diberikan tidak tepat dan mengelirukan.

“Kami bayar mahal, tapi akhirnya sedar kami ditipu. Dia sendiri tak tahu prosedur sebenar JAKIM. Jadi kami terpaksa hentikan dan mula semula dari awal,” jelas Ryzal.

Bermula semula dari sifar membuka mata mereka tentang realiti sebenar industri makanan dan minuman (F&B), khususnya berkaitan pensijilan halal. Menurut Ryzal, ramai menyangka sijil halal hanya melibatkan daging, sedangkan hakikatnya setiap bahan yang digunakan di dapur perlu diperiksa secara terperinci.

“Garam, sayur, makanan kering, semuanya kena ada sijil halal. Ini bukan soal makanan tu haram atau tidak, tetapi JAKIM mahu tahu keseluruhan proses penyediaan,” katanya.

Cabaran menjadi lebih rumit kerana restoran mereka menyajikan makanan Korea yang kebanyakannya menggunakan bahan import dan rantaian pembekal yang panjang.

“Untuk makanan Korea, lagi banyak soalan. Dari pembekal daging, proses penghantaran, hingga siapa bawa lori pun boleh ditanya. Memang mencabar, tapi wajar,” katanya.

Selepas mendapatkan rujukan sah dan berurusan terus dengan pihak JAKIM, proses permohonan kali kedua berjalan lebih tersusun. Walaupun jangkaan awal sekitar tiga bulan, keseluruhan proses mengambil masa hampir enam bulan.

“Kalau dibandingkan dengan restoran Korea lain yang ambil masa bertahun-tahun, kami sangat bersyukur. Enam bulan pun satu nikmat,” ujarnya.

Sepanjang tempoh tersebut, JAKIM menjalankan audit menyeluruh melibatkan dapur, kebersihan, prosedur kerja kakitangan, latihan pengendalian makanan serta pencahayaan. Walaupun K Garden memiliki sijil halal dari Korea dan negara lain, semua dokumen tetap perlu diserahkan untuk semakan pihak berkuasa tempatan.

Kini, selepas melalui pelbagai dugaan, K Garden akhirnya menerima pensijilan halal rasmi JAKIM dalam satu majlis di IOI City Mall, Putrajaya. Bagi Ryzal dan Maryam, sijil halal bukan sekadar logo, tetapi lambang kejujuran, kesabaran dan tanggungjawab dalam dunia perniagaan makanan yang penuh cabaran.

Sumber : SINAR PLUS