JAKARTA, 23 Disember 2025 – Kerajaan Indonesia akan mengeluarkan sebanyak 1.35 juta sijil halal percuma kepada perusahaan mikro dan kecil (PMK) pada tahun 2026, sebagai persediaan menjelang pelaksanaan sepenuhnya Undang-Undang Halal Mandatori yang dijadual berkuat kuasa pada Oktober tahun hadapan.
Ketua Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH), Ahmad Haikal Hasan memaklumkan bahawa inisiatif berskala besar itu merupakan arahan langsung Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, bagi memastikan usahawan mikro dan kecil tidak terbeban dengan kos pensijilan halal.
Menurut beliau, dasar tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan usahawan kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
“Presiden Prabowo Subianto memberi perhatian khusus kepada keperluan perusahaan mikro dan kecil dengan menyediakan 1.35 juta sijil halal secara percuma pada tahun 2026,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum itu, pada tahun 2025, kerajaan Indonesia telah memperuntukkan 1.14 juta kuota sijil halal percuma untuk usahawan mikro dan kecil, dengan pelaksanaan program ini diuruskan sepenuhnya oleh BPJPH. Setakat ini, sebanyak 10.9 juta produk telah menerima pensijilan halal melalui agensi tersebut.
Ahmad Haikal turut menjelaskan bahawa pada tahun ini, BPJPH telah mengeluarkan Keputusan Ketua BPJPH No. 146 Tahun 2025, yang memperluaskan kategori penerima bantuan pensijilan halal percuma, termasuk gerai makanan. Berdasarkan peraturan baharu itu, sebanyak 25,002 gerai makanan yang berdaftar dalam sistem Sihalal telah berjaya memperoleh sijil halal secara percuma.
Beliau berkata, proses pensijilan halal di Indonesia kini dijalankan sepenuhnya secara digital dan telus melalui sistem maklumat Sihalal, yang menjadi tulang belakang perkhidmatan digital BPJPH. Sistem ini meliputi kedua-dua kaedah pensijilan, iaitu skim pengisytiharan kendiri untuk perusahaan mikro dan kecil serta skim pensijilan biasa bagi perusahaan sederhana dan besar.
Bagi skim pensijilan biasa, proses ini dilaksanakan selaras dengan Undang-Undang No. 33 Tahun 2014 dan Peraturan Kerajaan No. 42 Tahun 2024, dengan penglibatan institusi luar seperti Lembaga Pemeriksa Halal (LPH) dan Suruhanjaya Fatwa Majlis Ulama Indonesia (MUI).
Permohonan sijil halal boleh dibuat secara dalam talian melalui portal ptsp.halal.go.id, sebelum produk diperiksa atau diuji oleh LPH menerusi audit yang dijalankan oleh juruaudit halal bertauliah. Setelah audit selesai, keputusan akan dibentangkan kepada Suruhanjaya Fatwa MUI untuk penetapan hukum halal, sebelum sijil halal dikeluarkan oleh BPJPH.
Menariknya, Ahmad Haikal menegaskan bahawa keseluruhan proses pensijilan halal digital ini tidak melibatkan sebarang pertemuan fizikal atau komunikasi peribadi antara pemohon dan pegawai BPJPH, sekali gus mengurangkan risiko salah guna kuasa serta meningkatkan ketelusan sistem.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah strategik Indonesia untuk memperkukuh ekosistem halal nasional, melindungi usahawan kecil, serta mempercepat kesiapsiagaan negara dalam menghadapi pelaksanaan penuh undang-undang halal mandatori.
Sumber : ANTARA NEWS