KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) — Kenya menyatakan kesediaan untuk mempertingkat hubungan ekonomi dua hala dengan Malaysia melalui kerjasama strategik merangkumi industri halal, minyak sawit, pemprosesan agro, semikonduktor serta sektor tenaga boleh baharu (TBB), sekali gus dijangka merancakkan perdagangan, pelaburan dan akses pasaran serantau.
Pesuruhjaya Tinggi Kenya ke Malaysia, Ekitela Moru, berkata kedua-dua negara kini sedang merundingkan satu memorandum persefahaman (MoU) bagi membangunkan industri halal di Kenya, dengan sasaran untuk memeterai perjanjian tersebut pada awal tahun ini. Menurut beliau, MoU itu bertujuan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman Malaysia sebagai peneraju global dalam industri dan pensijilan halal, di samping membina kapasiti Kenya untuk menghasilkan serta mengeksport produk halal ke Malaysia, negara ASEAN dan pasaran global yang lebih luas.
“Malaysia merupakan peneraju dunia dalam pensijilan halal dan industri halal, selain memiliki rangkaian pengedaran serantau yang kukuh. Kenya boleh memanfaatkan kekuatan ini untuk memperluaskan eksport makanan diprosesnya,” katanya.
Moru menjelaskan bahawa usaha memperkukuh perdagangan Kenya-Malaysia berasaskan kekuatan ekonomi yang saling melengkapi, dan menjadi semakin signifikan selepas lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kenya pada November lalu. Lawatan bersejarah itu, yang merupakan lawatan pertama Perdana Menteri Malaysia ke Kenya dalam tempoh 60 tahun, telah membuka lembaran baharu dalam hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Semasa lawatan tersebut, Malaysia dan Kenya memeterai beberapa perjanjian merangkumi perkhidmatan udara, pelancongan, perancangan bandar serta pelaburan dalam infrastruktur dan teknologi. Kerjasama ini dilihat sejajar dengan aspirasi Kenya untuk muncul sebagai hab serantau dalam inovasi, pembuatan, pelancongan dan transformasi pertanian.
Dalam sektor minyak sawit pula, Moru memaklumkan bahawa Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) bercadang memindahkan pejabat serantau bagi Afrika Sub-Sahara dari Afrika Selatan ke Nairobi pada suku pertama 2026. Langkah ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan mengukuhkan rantaian nilai industri sawit di Kenya.
“Kenya menggalakkan Malaysia membawa masuk minyak sawit mentah untuk ditapis di Kenya sebelum dieksport semula sebagai produk hiliran. Ini bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan, malah menjana hasil sampingan seperti sabun, memandangkan 90 peratus import Kenya dari Malaysia adalah minyak sawit,” katanya.
Selain itu, Kenya turut mengenal pasti potensi kerjasama dalam pemprosesan agro, teknologi digital, ekonomi kewangan (fintech), semikonduktor dan tenaga boleh baharu. Pengalaman Malaysia dalam sektor berteknologi tinggi dijangka membantu mempercepat proses perindustrian Kenya, manakala Malaysia pula berpeluang mempelbagaikan pasaran dan mengukuhkan daya tahan rantaian bekalannya.
Pada 2024, Kenya merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Afrika dengan nilai perdagangan mencecah RM5.7 bilion, meningkat 1.2 peratus berbanding RM5.51 bilion pada tahun sebelumnya. Kenya optimis hubungan perdagangan dua hala ini akan terus berkembang melalui pemeteraian MoU, penglibatan sektor swasta dan kerjasama strategik yang lebih menyeluruh.
Sumber : BERNAMA