BUKIT BERUNTUNG, 3 Januari 2026 — Kerajaan MADANI terus memperkukuh jaminan keterjaminan makanan negara apabila Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, merasmikan Majlis Pensijilan Halal Gula Rahmah, satu inisiatif strategik yang bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap bekalan gula yang diyakini halal, selamat dan mampu milik.
Majlis perasmian yang berlangsung di Bukit Beruntung itu menandakan pengiktirafan rasmi terhadap produk Gula Rahmah yang telah memenuhi keperluan pematuhan halal serta aspek kebersihan, selain mematuhi piawaian kawal selia yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Pensijilan ini dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan rantaian bekalan gula negara diurus secara telus dan berintegriti.
Ketua Pegawai Eksekutif HMBE Legacy Sdn Bhd, Ahmad Badurol Hisham Mukhatar, berkata pensijilan halal bagi Gula Rahmah merupakan elemen kritikal dalam membina keyakinan pengguna, khususnya dalam memastikan barangan keperluan asas yang digunakan setiap hari menepati prinsip kebersihan dan halal.
“Pensijilan halal ini memberi jaminan kepada rakyat bahawa Gula Rahmah bukan sahaja dikawal dari segi bekalan dan pengedaran, malah mematuhi keperluan halal dan kebersihan yang menjadi keutamaan pengguna di Malaysia,” katanya ketika ditemui media selepas majlis perasmian.
Beliau menjelaskan bahawa Gula Rahmah membuktikan bekalan gula mampu disediakan kepada rakyat tanpa bergantung kepada sebarang subsidi kerajaan, namun masih boleh ditawarkan pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran semasa.
“Inisiatif ini dilaksanakan sepenuhnya tanpa subsidi kerajaan. Walaupun begitu, Gula Rahmah ditawarkan pada harga RM2.70 sekilogram, iaitu di bawah harga pasaran, selaras dengan usaha kerajaan membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup,” katanya.
Menurut beliau, buat masa ini pengedaran Gula Rahmah dilaksanakan secara terhad melalui program Jualan Rahmah Bergerak yang diselaraskan oleh kementerian, bagi memastikan agihan lebih tersusun dan tertumpu kepada kumpulan sasaran yang memerlukan.
“Pendekatan ini merupakan langkah awal yang praktikal. Pada masa sama, kami berharap inisiatif Gula Rahmah dapat diperluaskan ke pasaran domestik secara lebih menyeluruh supaya lebih ramai rakyat di seluruh negara dapat menikmati gula pada harga berpatutan,” katanya.
Tambah beliau, peluasan pengedaran Gula Rahmah berpotensi menjadi salah satu mekanisme berkesan dalam menangani isu kos sara hidup, khususnya melibatkan barangan keperluan asas yang digunakan secara harian oleh isi rumah.
Majlis berkenaan turut mempamerkan produk Gula Rahmah yang akan diagihkan secara berperingkat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memastikan bekalan makanan negara kekal stabil, selamat dan diyakini.
Secara keseluruhan, pengenalan dan pensijilan halal Gula Rahmah dilihat sebagai langkah progresif Kerajaan MADANI dalam memperkukuh tadbir urus industri makanan, meningkatkan keyakinan pengguna, serta memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.
Sumber : SABAH NEWS