ANKARA, 7 Januari 2026 — Türkiye dikenal pasti sebagai antara pintu masuk paling strategik ke pasaran Eropah dan Balkan, sekali gus membuka peluang besar kepada Malaysia untuk memperluas pelaburan serta memperkukuh pengembangan industri halal ke peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sikh Shamsul Ibrahim berkata Malaysia dan Türkiye sedang memperkukuh hubungan dua hala melalui pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MIDA dan Invest in Turkey, agensi pelaburan rasmi negara berkenaan.

Menurut beliau, MoU itu bertujuan meningkatkan kerjasama strategik dalam bidang pelaburan, perindustrian dan teknologi, selain membuka lebih banyak peluang pelaburan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

“Kita akan menukar MoU dengan Invest in Turkey dengan objektif memperhebatkan kerjasama dua hala, termasuk membawa lebih banyak pelaburan Türkiye ke Malaysia dan pada masa sama memperluas pelaburan Malaysia ke Türkiye,” katanya ketika ditemui Buletin TV3 di Ankara.

Sikh Shamsul menjelaskan, Türkiye mempunyai kekuatan yang ketara dalam sektor aeroangkasa dan pertahanan, yang turut memberi kesan limpahan kepada sektor bukan pertahanan termasuk pembuatan berteknologi tinggi dan rantaian bekalan industri.

“Kita berharap dapat menarik lebih banyak pembekal syarikat multinasional yang berpangkalan di Türkiye untuk meneroka peluang pelaburan di Malaysia. Ini sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab atau batu loncatan mereka untuk menembusi pasaran Asia,” katanya.

Dalam konteks pembangunan industri halal, beliau menegaskan bahawa Türkiye mempunyai kelebihan dari segi kedudukan geografi, infrastruktur industri serta populasi Muslim yang besar, sekali gus menjadikannya rakan strategik penting kepada Malaysia dalam usaha mengembangkan industri halal ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof berkata Türkiye bukan sekadar destinasi eksport biasa, malah berperanan sebagai hab strategik untuk menembusi pasaran Eropah dan Balkan.

“Kita melihat pasaran Türkiye bukan hanya untuk pasaran domestiknya, tetapi juga sebagai pintu masuk ke Eropah dan Balkan. Ini merupakan peluang besar kepada pengeksport Malaysia untuk menggunakan Türkiye sebagai platform menembusi pasaran Eropah yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata pelbagai sektor berpotensi dimanfaatkan melalui kerjasama itu, termasuk makanan dan minuman halal, farmaseutikal, kosmetik, logistik serta perkhidmatan berkaitan industri halal.

Menurut Abu Bakar, industri halal akan terus menjadi antara fokus utama kerjasama perdagangan Malaysia–Türkiye, memandangkan permintaan global yang semakin meningkat terhadap produk halal yang berkualiti dan diperakui.

Kerjasama strategik ini dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama industri halal dunia, di samping memanfaatkan peranan Türkiye sebagai jambatan ekonomi antara Asia dan Eropah, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk memperluas pasaran eksport dan pelaburan berimpak tinggi.

Sumber : BULETIN TV3