Malaysia kini sedang meneliti cadangan untuk memperkenalkan mata wang digital Halal berasaskan emas, yang disifatkan sebagai langkah strategik untuk membina sistem kewangan Islam yang bebas daripada pengaruh kuasa barat serta lebih stabil dalam jangka panjang. 

Menurut Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai, Provos dan Dekan Sekolah Siswazah Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), sejarah Islam telah membuktikan keberkesanan emas, perak dan gangsa sebagai asas kepada sistem mata wang. 

“Dinar pada zaman dahulu dibuat daripada emas seberat 4.5 gram. Namun kini, bekalan emas negara amat terhad — Malaysia hanya memiliki sekitar 38 tan emas sedangkan nilai mata wang dalam edaran mencecah RM6 trilion,” jelas beliau kepada TVS selepas sesi pleno Forum Zakat dan Wakaf Sedunia 2025. 

Beliau menambah, sistem kewangan global sebelum 1970-an pernah berasaskan emas melalui sistem Bretton Woods, dan sudah tiba masanya untuk kembali kepada asas tersebut. 

“Nilai emas sentiasa meningkat — daripada RM35 pada tahun 1995 kepada RM550 satu gram kini, dan berpotensi mencecah RM1,500 satu gram. Ini membuktikan bahawa emas mampu melindungi nilai mata wang dan rakyat daripada kesan inflasi,” ujarnya. 

Walaupun Malaysia berdepan kekangan bekalan emas tempatan, Dr. Barjoyai menegaskan emas merupakan aset mudah cair yang boleh diperoleh daripada pasaran global untuk menyokong pelaksanaan sistem kewangan berasaskan emas dan digital. 

Beliau turut melihat teknologi digital sebagai peluang besar dalam memperkukuh ekonomi Islam, dengan mencontohi kejayaan China yang berjaya mengeluarkan lebih 800 juta rakyatnya daripada kemiskinan dalam tempoh kurang 15 tahun melalui inovasi digital. 

Selain itu, Dr. Barjoyai mengaitkan pembangunan aset digital dan emas dengan potensi wakaf serta zakat moden yang lebih menyeluruh. Katanya, konsep wakaf di Malaysia perlu diperluaskan daripada sekadar derma tanah dan rumah kepada pelaburan jangka panjang yang memberi manfaat dunia dan akhirat. 

Beliau turut memperkenalkan konsep wakaf sementara dan wakaf ahli (keluarga) yang telah mula diamalkan di beberapa negeri seperti Sarawak, bagi membantu kestabilan ekonomi isi rumah. 

“Apabila seseorang itu meninggal dunia, harta yang diwakafkan akan menjadi wakaf kekal hingga ke akhirat,” jelasnya. 

Dr. Barjoyai menyeru agar rakyat Malaysia mengubah cara pandang terhadap zakat dan wakaf dengan memanfaatkan potensi digitalisasi demi kesejahteraan ummah dan kemakmuran ekonomi Islam masa depan.

Sumber : TVSarawak.