Malaysia sekali lagi mengekalkan kedudukannya sebagai pasaran kewangan Islam paling maju di dunia, menurut Laporan Indeks Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) 2025 yang diterbitkan oleh London Stock Exchange Group (LSEG) dengan kerjasama Islamic Corporation for the Development of the Private Sector (ICD), sebuah entiti di bawah Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IsDB).
Laporan tahunan itu menilai tahap pembangunan industri kewangan Islam di 140 negara dan meletakkan Arab Saudi serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) masing-masing di tempat kedua dan ketiga — mencerminkan kepimpinan dasar dan pelaburan berterusan ketiga-tiga negara dalam memperkukuh ekosistem kewangan Islam global.
Negara lain yang berada dalam 10 teratas termasuk Indonesia, Pakistan, Kuwait, Bahrain, Iran, Qatar, Turkiye dan Bangladesh, menandakan kepelbagaian dan kematangan pasaran kewangan Islam di peringkat antarabangsa.
Menurut laporan tersebut, tadbir urus (governance) mencatatkan skor tertinggi secara global, menunjukkan peningkatan dalam aspek kawal selia, ketelusan dan pendedahan maklumat dalam kalangan negara utama.
Ketua Kewangan Islam LSEG, Mustafa Adil, berkata masa depan industri ini akan digerakkan oleh hubungan rentas sempadan, kemajuan peraturan dan inisiatif strategik nasional.
“Aset kewangan Islam global dijangka mencecah AS$9.7 trilion menjelang 2029, dengan kadar pertumbuhan tahunan purata 10%. Ini membuktikan peranan penting kewangan Islam dalam menyokong pertumbuhan ekonomi mampan dan memperluas inklusi kewangan di seluruh dunia,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif ICD, Khalid Khalafalla, menegaskan laporan IFDI menjadi rujukan penting kepada kerajaan dan pemain industri, kerana ia mencerminkan usaha berterusan membina ekosistem kewangan Islam yang inklusif, berdaya tahan dan menyokong ekonomi sebenar.
“Usaha ini juga seiring dengan misi ICD untuk menggalakkan pembangunan sektor swasta dan memperkukuh kewangan Islam di negara-negara anggota,” tambahnya.
Pertumbuhan Kewangan Islam Global Terus Kukuh
Industri kewangan Islam terus menunjukkan daya tahan tinggi walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi dunia.
Pasaran sukuk global kini melepasi nilai AS$1 trilion, dengan jumlah terbitan meningkat 11% tahun ke tahun kepada AS$254.3 bilion pada 2024. Penerbitan sukuk berasaskan kelestarian (ESG) juga berkembang pesat dengan nilai tertunggak AS$50 bilion dan terbitan baharu AS$15.4 bilion, menggambarkan penyesuaian industri terhadap prinsip lestari.
Segmen perbankan Islam kekal dominan, menyumbang 72% daripada jumlah aset kewangan Islam global, dengan operasi kini wujud di 84 pasaran di seluruh dunia. Di rantau Afrika Sub-Sahara, perkembangan pesat menyaksikan kemunculan 104 institusi perbankan Islam dan tingkap Islamik di 28 negara.
Tiga pasaran terbesar — Iran, Arab Saudi dan Malaysia — kini menguasai AS$4.3 trilion atau 72% daripada keseluruhan aset kewangan Islam dunia, meneguhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju utama dalam inovasi dan pembangunan kewangan Islam global.
Sumber: Business Today.