KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2025 – Malaysia dan New Zealand bersepakat memperkukuh hubungan strategik dalam sektor industri halal antarabangsa, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai pintu utama produk halal ke pasaran ASEAN, manakala New Zealand berperanan sebagai rakan kongsi strategik dan dipercayai dalam pembangunan industri tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kedua-dua negara turut bersetuju untuk meningkatkan perdagangan dua hala sebanyak 50 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang, menerusi pelbagai inisiatif dan projek bersama dalam bidang halal.
“Saya telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan dan wakil Persatuan Muslim di New Zealand. Mereka menunjukkan komitmen tinggi terhadap pembangunan industri halal.
Kini terdapat tiga persatuan di negara tersebut yang diberikan kuasa untuk mengeluarkan sijil halal, dan kita bekerjasama rapat dengan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Diplomasi Halal anjuran New Zealand di Kuala Lumpur.
Malaysia & New Zealand Kukuh Keyakinan Pasaran Halal Global
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, serta Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, dan Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Mike Walsh, yang bersama menyaksikan pertukaran nota pelaksanaan Aturan Pelaksanaan Halal (Halal Implementation Arrangement, HIA) antara kedua-dua negara.
Zahid menjelaskan bahawa perbincangan mengenai industri halal bukan sekadar tertumpu kepada perdagangan semata-mata, tetapi juga kepada elemen kepercayaan, integriti, ketelusan dan nilai bersama yang menjadi teras kerjasama dua hala ini.
“Malaysia melalui pensijilan halal JAKIM telah diiktiraf di peringkat global.
Kita kini dalam proses menubuhkan Majlis Halal ASEAN, dan saya menjemput New Zealand untuk turut serta sebagai rakan dialog dalam majlis itu,” katanya.
Majlis Halal ASEAN Perkukuh Rantaian Bekalan & Sistem Pensijilan
Malaysia dan New Zealand turut menyambut baik pemuktamadan Aturan Pelaksanaan Halal (HIA) yang akan menjadi asas kepada pembangunan sistem pensijilan dan rantaian bekalan halal yang lebih cekap, telus dan dipercayai.
Kerjasama ini diharap dapat meningkatkan keyakinan global terhadap integriti sistem halal Malaysia dan memperkukuh kedudukan kedua-dua negara sebagai peneraju dalam perdagangan halal antarabangsa.
“Industri halal bukan sekadar platform ekonomi, tetapi simbol kepercayaan dan nilai sejagat yang menghubungkan Malaysia dan New Zealand,” tambah Zahid.
Dengan kerjasama yang semakin erat, Malaysia dan New Zealand kini dilihat bersedia menjadi model rujukan bagi ekosistem halal dunia, memacu pertumbuhan ekonomi Islam yang lebih mampan, beretika dan inklusif di peringkat serantau serta global.
Sumber : BERITA RTM