CYBERJAYA: Malaysia terus memperkukuh agenda transformasi digital sektor pertanian apabila Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) memeterai kerjasama strategik rentas sempadan dengan Dewan Bandaraya Chungju, Republik Korea, bagi memacu pembangunan teknologi pertanian digital (AgTech) serta menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030.

Kerjasama strategik pertama seumpamanya itu memberi tumpuan kepada penerapan teknologi digital dan AI dalam sektor pertanian, pembangunan petani digital, pengukuhan keselamatan makanan negara serta pertumbuhan ekonomi digital. Inisiatif ini selari dengan inisiatif Malaysia Digital (MD) AgTech yang diterajui MDEC, selain menyokong dasar-dasar nasional berkaitan transformasi digital dan keterjaminan makanan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil, kerjasama ini membuktikan peranan penting kolaborasi antarabangsa dalam mempercepat penggunaan teknologi AI secara praktikal dalam sektor AgTech.

“Kerjasama ini menunjukkan bagaimana teknologi digital dan AI boleh dimanfaatkan secara menyeluruh untuk memperkasa sektor pertanian, meningkatkan keselamatan makanan serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, penerapan teknologi AgTech berasaskan AI bukan sahaja membantu petani meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi, malah membuka peluang baharu kepada generasi petani digital untuk berkembang dalam ekonomi berasaskan data.

“Inisiatif ini berpotensi meningkatkan taraf hidup petani, memastikan kelestarian rantaian bekalan makanan dan memperkukuh ekosistem agromakanan negara agar kekal berdaya saing di peringkat global,” tambahnya.

Kerjasama tersebut dibangunkan susulan kejayaan inisiatif AgTech digital kerajaan-ke-kerajaan Malaysia–Republik Korea yang dilancarkan pada 2022, melibatkan Kementerian Digital, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta MDEC dari pihak Malaysia, bersama Kementerian Sains dan ICT serta National Information Society Agency dari Korea.

Melalui inisiatif terdahulu itu, tiga sistem AgTech berasaskan AI telah berjaya dilaksanakan di Malaysia, iaitu Sistem Fertigasi Pintar AI, Sistem Pengairan Pintar AI dan Sistem Pengesanan Perosak AI, yang menyokong pengurusan ladang secara lebih cekap dan mampan.

Susulan penglibatan berterusan, Dewan Bandaraya Chungju bersama rakan ekosistem dari Republik Korea, SimplyCare Bio Co. Ltd, serta rakan strategik tempatan Serunai Commerce Sdn Bhd, memberi tumpuan kepada pemindahan teknologi AgTech, pendigitalan halal dan pengukuhan ekosistem digital rentas sempadan.

Komitmen tersebut dimeterai menerusi pertukaran Surat Hasrat (LoI) antara MDEC dan Dewan Bandaraya Chungju sempena lawatan rasmi delegasi Korea ke Malaysia yang diketuai Datuk Bandar Chungju, Cho Gil-Hyeong.

Selain itu, Memorandum Persefahaman (MoU) turut ditandatangani antara Serunai Commerce Sdn Bhd, SimplyCare Bio dan Dewan Bandaraya Chungju bagi memulakan kerjasama dalam pendigitalan halal, kesiapsiagaan pensijilan digital serta pembangunan rangka kerja digital dipercayai untuk produk berasaskan pertanian.

MDEC memaklumkan bahawa transformasi digital sektor pertanian kekal sebagai keutamaan nasional di bawah Dasar Agromakanan Negara 2.0, Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara, serta teras strategik Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Industri Keempat Negara (MED4IRN).

Melalui kerjasama strategik ini, Malaysia diyakini mampu mempercepat pembangunan ekosistem AgTech berasaskan AI yang inklusif, mampan dan berskala, sejajar dengan aspirasi negara untuk muncul sebagai hab ekonomi digital dan AI serantau menjelang 2030.

Sumber : ASTRO AWANI