KUALA LUMPUR, 23 April 2025 — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil langkah proaktif dan tegas susulan pengumuman rasmi oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia berhubung penarikan balik beberapa produk makanan dari pasaran yang didapati mengandungi DNA khinzir (porcine).
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan JAKIM, pengumuman BPJPH pada 21 April 2025 mendedahkan bahawa hasil analisis makmal oleh pihak berkuasa Indonesia menunjukkan sebanyak 11 ‘batch’ daripada 9 produk makanan yang diuji mengandungi unsur DNA khinzir. Daripada jumlah tersebut, 9 ‘batch’ mewakili produk yang memiliki sijil Halal manakala 2 ‘batch’ lagi tidak mempunyai sijil Halal.
JAKIM menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan tegas dan proaktif oleh pihak berkuasa Indonesia dalam memastikan kepatuhan terhadap standard Halal serta aspek keselamatan makanan. Dalam usaha menjaga kepentingan pengguna Muslim di Malaysia, JAKIM telah mengarahkan pemantauan menyeluruh bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi mengenal pasti dan menyiasat keberadaan produk-produk terbabit di pasaran tempatan.
Sebagai langkah lanjut, JAKIM turut menyeru semua pihak pengimport yang berkaitan untuk segera menghubungi JAKIM melalui emel rasmi di ukkjakim@islam.gov.my serta melaksanakan tindakan penarikan balik produk tersebut dari pasaran Malaysia.
Langkah ini diambil selaras dengan prinsip pemeliharaan hak pengguna Muslim dan memastikan integriti sistem pensijilan Halal negara sentiasa terjaga. JAKIM turut menyeru masyarakat umum agar menjadi mata dan telinga dengan menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan produk Halal melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JAKIM di pautan berikut: https://islam.spab.gov.my/eApps/system/index.do.
Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, menegaskan bahawa JAKIM sentiasa komited dalam memastikan hanya produk yang benar-benar memenuhi piawaian Halal dibenarkan berada di pasaran tempatan. Hal ini adalah demi menjaga kepentingan dan kepercayaan pengguna Muslim terhadap produk Halal di negara ini.
Bagi memastikan status Halal sesuatu produk, pengguna disarankan untuk menggunakan aplikasi mudah alih Verify HalalTM yang dibangunkan oleh Serunai Commerce Sdn Bhd dengan kerjasama dengan JAKIM. Aplikasi ini membolehkan semakan segera dan tepat terhadap status pensijilan Halal produk tempatan dan antarabangsa secara dalam talian. Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store atau Apple App Store.

Sumber: Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM.