JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Halal Negeri Johor (PKHNJ) 2030 bagi merealisasikan visinya sebagai hab Halal utama di rantau ini, dengan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan persekutuan dan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pelaksanaan pelan ini melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk jabatan kerajaan, institusi kebajikan dan pendidikan, serta pemain industri.
Menurutnya, negeri Johor komited untuk menetapkan penanda aras tinggi dalam aspek pematuhan Halal, bermula dengan fasiliti kerajaan negeri dan persekutuan terlebih dahulu.
“Kami menerima sokongan penuh daripada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail untuk bekerjasama dalam usaha pensijilan Halal.
“Melalui kerjasama ini, kita menyasarkan agar semua dapur hospital kerajaan dan institusi kebajikan di bawah pemantauan kerajaan negeri memperoleh sijil Halal yang sah,” katanya.
Selain itu, pengusaha kafeteria dan pembekal makanan di institusi berkenaan juga akan digalakkan memohon pensijilan Halal daripada pihak berkuasa.
Mohd Fared berkata, pihak kerajaan negeri mahu jabatan dan agensi kerajaan menjadi contoh dalam pematuhan Halal terutamanya dalam penyediaan makanan dan minuman, sebelum galakan diperluas kepada usahawan dan peniaga.
Dalam strategi yang lebih menyeluruh, Johor juga menjalinkan kerjasama erat bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membina ekosistem Halal yang lebih mampan – bermula daripada pendidikan, keusahawanan, hingga pengurusan perniagaan.
“Saya telah bertemu dengan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan kami bersetuju untuk menjalin kerjasama rasmi. Johor merupakan negeri pertama yang menyatakan hasrat ini secara rasmi kepada MARA,” jelasnya.
MARA juga bersetuju untuk menyokong usahawan tempatan khususnya dalam menggalakkan mereka memohon pensijilan Halal.
Menurutnya, sesi bengkel kolaboratif akan dianjurkan dalam masa terdekat bagi membangunkan satu kerangka yang memudahkan proses permohonan Halal agar lebih cekap dan mesra perniagaan.
Beliau turut menyatakan potensi kerjasama bersama institusi pendidikan milik MARA, termasuk cadangan menubuhkan pusat dialisis untuk golongan asnaf dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ).
Dalam perkembangan lain, Mohd Fared memaklumkan bahawa Johor turut menerima sokongan penuh daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dalam melaksanakan PKHNJ 2030.
Beliau berkata, kepakaran RISDA dalam program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkaitan industri Halal turut dikenal pasti sebagai antara elemen kerjasama yang penting.
“Industri Halal membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Johor, terutama graduan daripada institusi latihan berkaitan. Melalui pelaksanaan PKHNJ 2030, kita harap dapat menyediakan laluan kerjaya lebih baik kepada mereka,” ujarnya.
Sumber: The Star.