Oleh Alieya Aqilah.

KUCHING, 27 Feb – Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) akan memperketatkan penguatkuasaan bagi memastikan hanya hotel dan premis makanan yang memiliki sijil Halal dibenarkan mempromosikan bufet menggunakan perkataan ‘Ramadan’ sepanjang bulan puasa.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, menjelaskan bahawa premis yang masih dalam proses mendapatkan sijil Halal juga dilarang sama sekali daripada mengiklankan bufet Ramadan.

“Setakat ini, tiada laporan atau aduan diterima kerana semua premis di Sarawak mematuhi peraturan ini. Pegawai JAIS telah menasihati pemilik premis untuk mendapatkan sijil Halal terlebih dahulu,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian sumbangan dan pengumuman kadar zakat fitrah bagi 1446H.

Dilarang Guna Perkataan ‘Ramadan’, ‘Iftar’ & ‘Halal Dijamin’ Tanpa Sijil Halal

Sebelum ini, JAIS dalam satu kenyataan menegaskan bahawa hotel atau premis makanan yang tidak memiliki sijil Halal dilarang menggunakan perkataan ‘Ramadan’ dalam promosi bufet mereka. Ini termasuk frasa seperti:

  • “Ramadan Buffet”
  • “Iftar Ramadan”
  • “Jom Iftar”
  • Guaranteed Halal

Selain itu, sebarang istilah atau perkataan yang boleh menggambarkan makanan tersebut sesuai untuk berbuka puasa bagi umat Islam juga tidak dibenarkan.

Premis yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, yang membawa hukuman denda sehingga RM500,000 bagi individu dan denda maksimum RM10 juta bagi syarikat sekiranya disabitkan kesalahan.

Sumber: The Star.