SHAH ALAM, 4 November 2025 – Pasukan Pemantau Mesra Muslim (MFW) tampil memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, berhubung kekeliruan yang timbul akibat penggunaan nama dan logo “Muslim Choice” yang dikaitkan dengan organisasi tersebut.
Presidennya, Noorman Kamsani, menjelaskan bahawa “Muslim Choice” bukanlah badan pensijilan halal atau label pengiktirafan rasmi, sebaliknya hanya merupakan sistem dalaman organisasi yang digunakan untuk menguruskan data keahlian korporat serta ahli MFW.
“Logo dan nama sistem itu hanyalah identiti dalaman dan tidak pernah diberi kebenaran untuk digunakan oleh mana-mana ahli, syarikat atau produk.
Kami kesal dengan kekeliruan yang timbul dan memohon maaf atas sebarang kegusaran yang berlaku,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Tindakan Segera Dihentikan & Tadbir Urus Akan Dinilai Semula
Noorman memaklumkan bahawa pihaknya telah menghentikan penggunaan sistem “Muslim Choice” serta-merta dan sedang menilai semula struktur tadbir urus organisasi bagi memastikan semua operasi mematuhi undang-undang serta garis panduan JAKIM.
Tambah beliau, MFW juga merancang untuk mengadakan pertemuan rasmi dengan JAKIM bagi mendapatkan khidmat nasihat lanjut serta memastikan segala aktiviti masa depan mematuhi piawaian halal Malaysia sepenuhnya.
JAKIM Tegas Hanya Logo Halal Malaysia Diiktiraf
Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa istilah “Muslim Choice” yang diperkenalkan oleh MFW bukan penandaan halal yang diiktiraf, malah penggunaannya boleh menimbulkan kekeliruan terhadap status halal produk atau premis.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, mengingatkan bahawa hanya Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dikeluarkan oleh JAKIM, MAIN atau JAIN mempunyai pengiktirafan sah di negara ini.
MFW Komited Perkukuh Integriti & Kerjasama Dengan Agensi Halal
Menjawab isu berbangkit di media sosial, Noorman turut menyeru masyarakat agar menghentikan penyebaran fitnah atau maklumat tidak tepat berhubung MFW.
Beliau menjelaskan bahawa tujuh ahli jawatankuasa utama MFW berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan semuanya beragama Islam.
MFW juga akan membuat laporan polis terhadap penyebaran kenyataan palsu yang menjejaskan integriti organisasi.
“Langkah ini bukan untuk menentang mana-mana pihak, tetapi demi mempertahankan kebenaran dan maruah organisasi,” jelasnya.
Komitmen Teruskan Usaha Pendidikan & Latihan Halal
Sejak penubuhannya, MFW menumpukan usaha membantu usahawan bukan Islam memahami dan mematuhi piawaian halal JAKIM.
Menurut Noorman, hasil bimbingan dan latihan yang diberikan, seorang usahawan bukan Islam berjaya memperoleh pensijilan halal rasmi daripada JAKIM.
Selain itu, MFW turut aktif menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan dan antarabangsa dalam penganjuran kursus asas halal di luar negara, sejajar dengan misi memperkukuh agenda halal Malaysia di peringkat global.
“Kami berharap penjelasan ini memberi pencerahan kepada semua pihak.
Perjuangan kami berasaskan kejujuran, ilmu dan amanah demi memperkukuh industri halal Malaysia,” tambahnya.
Sumber : SINAR HARIAN