KUALA LUMPUR – Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menegaskan bahawa struktur kontrak dan operasi syarikat yang menawarkan kemudahan Buy Now Pay Later (BNPL) perlu diteliti secara mendalam bagi memastikan transaksi tersebut benar-benar mematuhi syariah, meskipun barangan yang dibeli adalah halal.

Ketua Pembangunan Penyelidikan AKPK, Mohammad Mafrukhin Mokhtar, berkata beberapa elemen berkaitan pematuhan syariah dalam model pembiayaan BNPL masih memerlukan kajian lanjut, terutama melibatkan struktur kontrak dan kaedah operasi syarikat penyedia perkhidmatan.

“Produk yang dibeli mungkin halal, tetapi struktur kontrak dan syarikat yang mengendalikannya perlu dianalisis. Ia belum sampai tahap membimbangkan, tetapi memerlukan penelitian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Laporan Kajian Literasi Kewangan Islam 2025, yang dilaksanakan bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

BNPL Dibenarkan, Tetapi Mesti Menggunakan Kontrak Syariah Yang Sah

Sebelum ini, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM), dalam Mesyuarat ke-220, telah memutuskan bahawa kemudahan BNPL adalah dibenarkan menurut Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Namun begitu, ia mesti distrukturkan menggunakan kontrak syariah yang tepat untuk melindungi hak dan tanggungjawab semua pihak.

Menurut Mafrukhin, ketiadaan data pengguna BNPL yang lebih menyeluruh pada masa ini menyukarkan penilaian risiko menyeluruh terhadap potensi implikasi skim tersebut dalam kerangka kewangan Islam.

Pengguna BNPL Beli Barang Keperluan, Bukan Perbelanjaan Berlebihan

Kajian awal menunjukkan majoriti pengguna BNPL menggunakan kemudahan tersebut untuk pembelian barang keperluan, bukan kepada perbelanjaan tidak terkawal.

“Kebanyakan urus niaga BNPL melibatkan barang keperluan. Ini menunjukkan pengguna benar-benar memerlukan barangan itu, tetapi mungkin tidak mempunyai tunai ketika itu. BNPL membantu mereka membeli sebelum hari gaji,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pola pembayaran kekal stabil dengan kadar kegagalan bayaran (default) yang rendah.

“Ramai pengguna membuat pembayaran dalam talian. Walaupun ada baki tertunggak, kadar ketidakpatuhan pembayaran masih rendah dan tidak membimbangkan,” tambahnya.

61% Rakyat Malaysia Sukar Simpan RM1,000 untuk Kecemasan – IKIM

Sementara itu, Timbalan Pengerusi IKIM, Datuk Dr Mohd Yusof Othman, memetik laporan BNM yang mendedahkan bahawa 61% rakyat Malaysia tidak mampu menyimpan sekurang-kurangnya RM1,000 bagi menghadapi keadaan kecemasan.

Katanya, tekanan kewangan rakyat berpunca daripada komitmen bulanan yang tinggi, tabiat berbelanja berlebihan serta terdedah kepada tawaran mudah seperti BNPL tanpa membuat perancangan kewangan yang rapi.

“Ini menunjukkan asas pengurusan kewangan peribadi dalam kalangan segelintir masyarakat masih rapuh dan memerlukan perhatian serius,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa literasi kewangan Islam perlu dipertingkat agar masyarakat memahami implikasi kewangan serta kepatuhan syariah dalam setiap transaksi.

Sumber : BERNAMA & MALAYMAIL