JOHOR BAHRU, 8 Disember – Johor terus menunjukkan perkembangan positif dalam pembangunan ekosistem halal negeri apabila berjaya merekodkan RM2.6 juta kutipan hasil Pensijilan Halal Malaysia sehingga 5 Disember 2025, meningkat berbanding RM2.4 juta yang dicapai pada tahun sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata peningkatan hasil ini turut disokong oleh pertambahan permohonan pensijilan halal daripada pelbagai sektor perniagaan di negeri itu.
Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 2,024 permohonan sijil halal telah diterima, termasuk permohonan daripada sektor hospitaliti.
“Sebanyak 35 hotel di Johor telah berjaya memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia bagi menyambut kedatangan pelancong Islam sempena Tahun Melawat Johor 2026,” katanya.
Sekolah Agama Johor Turut Perluas Pensijilan Halal
Dalam usaha memperkukuh keyakinan pengguna dan memastikan pematuhan menyeluruh, Mohd Fared berkata usaha pensijilan turut diperluas ke institusi pendidikan.
Setakat November, 68 Sekolah Agama Kerajaan Johor telah menerima sijil halal, daripada sasaran keseluruhan 153 sekolah.
Beliau optimis baki sekolah yang belum disijilkan akan berjaya diselesaikan sebelum akhir Disember.
Task Force Halal Johor Gerakkan Lebih 30 Agensi
Kerajaan negeri juga memperkenalkan Task Force Halal, sebuah gerak kerja khas merangkumi lebih 30 agensi kerajaan dan swasta, bagi mempercepat dan menyelaras proses permohonan serta pemantauan pensijilan halal.
Mohd Fared yakin pasukan ini mampu membantu Johor mencapai sasaran 500 pemegang Sijil Pengesahan Halal baharu bagi tahun 2025.
“Kerjasama strategik ini penting untuk memastikan seluruh rantaian perniagaan berjalan mengikut piawaian halal, selari dengan komitmen Johor sebagai negeri yang menerajui kualiti pengurusan halal,” ujarnya.
Pembekal Makanan Wajib Halal Bermula Tahun Hadapan
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengumumkan bahawa bermula tahun hadapan, semua agensi di bawah Portfolio Hal Ehwal Agama, termasuk anak syarikat kerajaan negeri, wajib menggunakan pembekal makanan yang memiliki Sijil Halal Malaysia.
Tempoh pematuhan selama tiga hingga enam bulan diberikan kepada semua agensi terlibat sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan.
Langkah ini dijangka meningkatkan permintaan terhadap pembekal halal yang bertauliah, sekali gus memperkukuh ekosistem perniagaan halal di negeri Johor.
Sumber : BERITA RTM