Simposium Bakat Halal 2025 anjuran Halal Development Corporation (HDC) Berhad membuka tirai hari ini dengan menyediakan sebuah platform strategik untuk perkongsian ilmu, pengalaman dan idea baharu bagi memperkasa pembangunan profesional halal berkelas dunia. Acara berprestij yang berlangsung di Kuala Lumpur ini menjadi usaha berterusan HDC dalam memantapkan tenaga kerja halal yang berkemahiran tinggi, kompeten serta mampu bersaing dalam menyokong pertumbuhan pesat industri halal negara.
Pemangku Pengerusi HDC, Datuk Azhari Shaari, dalam ucapannya menegaskan bahawa pembangunan bakat halal bukan sekadar tertumpu pada latihan teknikal semata-mata. Sebaliknya, ia turut merangkumi penerapan nilai etika, profesionalisme dan kecekapan global demi memastikan tenaga kerja Malaysia kekal relevan dalam landskap halal antarabangsa yang semakin mencabar. Beliau turut menyatakan bahawa simposium ini menjadi medan penting yang menghimpunkan pemain industri, institusi latihan serta agensi kerajaan untuk membentuk hala tuju bersama dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran profesional halal.
Dengan membawa tema “Memacu Profesional Halal ke Arah Kecemerlangan Global”, program sehari ini berjaya menghimpunkan lebih 250 peserta merangkumi eksekutif halal, penyedia latihan, akademia, pemain industri dan agensi kerajaan. Empat sesi perbincangan utama turut dijalankan, menampilkan panel daripada organisasi terkemuka seperti Maybank Islamic Berhad, Duopharma Biotech Berhad, Quanterm Logistics, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jabatan Standard Malaysia (JSM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Sesi pertama bertajuk “Membentuk Profesional Halal Masa Hadapan” menampilkan Penyelaras Hal Ehwal Halal Jabatan Perdana Menteri, Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff, yang membincangkan hala tuju strategik pembangunan bakat halal negara. Beliau turut menyentuh aspirasi untuk menubuhkan sebuah badan profesional khusus bagi mendaftar serta mengiktiraf pakar dan profesional halal di Malaysia.
Penganjuran simposium ini turut memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang antara industri dan institusi pendidikan, bagi memastikan graduan dalam bidang halal lebih bersedia memenuhi keperluan sebenar pasaran kerja. Inisiatif ini dianggap penting dalam melahirkan tenaga mahir yang bukan sahaja memahami syariah dan piawaian halal, tetapi juga mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta transformasi industri halal global.
Selain sesi forum, Pameran Digital turut dianjurkan bagi mempamerkan hasil penyelidikan, inovasi dan kerangka pembangunan komuniti pengamal halal (Halal Community of Practice Framework) oleh HDC bersama universiti-universiti tempatan.
Simposium Bakat Halal 2025 diharap dapat dijadikan platform tahunan bagi mengukuhkan dialog strategik antara pemain industri, kerajaan dan akademia, seterusnya melahirkan tenaga kerja halal yang berkualiti tinggi, berdaya tahan serta diiktiraf di peringkat global.
Sumber : BERNAMA